suria

Mayat bayi ditemukan terlangkup dalam lubang tandas stesen minyak! Dua wanita naik Perodua Bezza biru diburu

Anak merupakan amanah kurniaan Allah untuk ibu bapa. -Gambar hiasan

PENGUNJUNG di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar gempar apabila menemukan mayat seorang bayi di dalam tandas wanita pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada kira-kira pukul 12 tengah hari.

"Orang awam yang menjumpai mayat seorang bayi, jantina dan bangsa tak pasti kerana terlangkup dalam lubang tandas wanita dekat Petronas Sungai Haji Dorani.

"Polis bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan bayi terbabit meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Ujarnya, hasil siasatan awal mendapati rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) berjaya merakam dua individu disyaki suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar perempuan tingkatan 2 buang bayi bertali pusat di maahad tahfiz!

"Terdapat pergerakan seorang wanita hamil ditemani seorang lagi Wanita masuk ke dalam tandas di stesen minyak tersebut.

"Kedua-duanya didapati menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza berwarna biru manakala nombor pendaftarannya pula tidak jelas," katanya.

Justeru menurutnya polis kini giat mengesan individu dan suspek utama kes berkenaan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd Khairani, di talian 018-2510452.

Artikel Lain