suria

Order Grab, suruh buat kerja bomba! Rider terkedu dapat kunci, 'ditugaskan' alih kereta dalam banjir

Rider itu mengalihkan kereta tersebut dengan bantuan seorang pemuda India.

KEBIASAANNYA, pekerja penghantaran ditugaskan untuk membawa makanan atau barang ke destinasi yang ditetapkan pelanggan.

Namun, lain pula ceritanya melibatkan seorang rider Grab di Johor Bahru, Johor ini apabila dia ditugaskan untuk mengalihkan kereta yang ditenggelami banjir.

Menerusi perkongsian di TikTok Bongsuproduction, pemuda itu berkata pesanan untuk mengalihkan kereta berkenaan dibuat oleh seorang pelanggan wanita.

"Pergh, sekali dapat order, aku ingat hantar apa, rupanya dia bagi aku kunci kereta dalam sampul ni. Lepas tu dia suruh call.

"Rupanya dia suruh keluarkan kereta dia, banjir. Kereta dah tenggelam tu, macam mana aku nak keluarkan. Aduh," ujar pemuda itu.

Kereta milik pelanggan berjaya dialihkan ke tempat selamat.

Menerusi video kedua yang dimuat naik, dia menunjukkan keadaan kereta Myvi hijau milik pelanggan itu yang sudah separuh ditenggelami banjir.

Kereta itu bagaimanapun berjaya dialihkan ke tempat selamat atas bantuan seorang lagi pemuda berbangsa India.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita dedah sering dihiburkan rider penghantar barang... Ceria setiap kali bungkusan dihantar oleh 'orang lidi'

Jelas rider itu, kereta tersebut ditolak ke tempat yang tidak dinaiki air dan mereka tidak menghidupkan enjin untuk mengelakkan berlakunya kerosakan.

"Dia order Grab Express untuk keluarkan kereta. Nasib baik ada brother India ni tolong," ujar rider itu lagi.

Menjawab pertanyaan netizen, rider itu mengakui dia turut menerima tip daripada pelanggan berkenaan, namun enggan mendedahkan jumlahnya.

"Payment biasa je, cuma tip je 'kasar' sikit," jawab rider itu di ruangan komen.

Rata-rata netizen turut memuji sikap rider tersebut yang sanggup melakukan kerja di luar bidang tugasnya.

"Abang Grab dah macam bomba sekarang, macam-macam kerja boleh buat.

"Siapa cakap kerja Grab senang? Kena selamatkan kereta pula.

"Tahniah dik jadi orang baik. Pahala dapat, kepercayaan orang pun dapat," tulis netizen.

 

Artikel Lain