SEORANG doktor perubatan berusia 35 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur terhadap dua pertuduhan merogol dan melakukan seks di luar tabii pembantu kliniknya.
Tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 21 tahun di bilik stor sebuah klinik di Pantai Dalam antara pukul 4 pagi dan 5 pagi Sabtu lalu (15 Mac).
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 375(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa melakukan seks di luar tabii terhadap mangsa di tempat dan masa yang sama.
Pertuduhan di bawah Seksyen 377C akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun dengan sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh, pada Jumaat.
Timbalan pendakwa raya, Nidzuwan Abd Latip tidak menawarkan jaminan dengan alasan ia adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili tertuduh merayu supaya jaminan dibenarkan.
Dia memaklumkan anak guamnya adalah seorang doktor yang bekerja di sebuah klinik dan menyara isteri serta tiga anaknya.
Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Zaki Mohd Salleh kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM18,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran dua kali dalam sebulan.
Mahkamah juga mengarahkan tertuduh supaya menjauhkan diri daripada saksi pendakwaan.
Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 23 April depan. -The Star