PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan biasiswa sebanyak RM984,000 menerusi dana wakaf pendidikan tinggi iaitu myWaqafPTPTN melibatkan 82 pelajar daripada golongan kurang berkemampuan.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, sejak dilancarkan pada 11 Mac 2024, pihaknya telah menerima dana wakaf itu kira-kira RM1.19 juta selain peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Alhamdulillah, semenjak dilancarkan sehingga Februari 2025, sumbangan yang telah diterima berjumlah lebih RM1,188,000. Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika Majlis Peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2025 pada Februari lalu telah mengumumkan sumbangan berjumlah RM30 juta kepada myWaqafPTPTN bagi menyokong program ini.
“PTPTN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri dan para penyumbang atas keprihatinan ini,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama sahabat media di Kuala Lumpur, pada Rabu.
Pada majlis itu, lapan daripada 24 pelajar pelbagai latar belakang menerima dana berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM266,000.
Sewaktu dilancarkan, seramai 58 pelajar telah menerima inisiatif berkenaan dengan peruntukan berjumlah lebih RM717,000.
Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wakaf Malaysia, Dr Ridzwan Bakar.
Dalam pada itu tambah Norliza, myWaqafPTPTN mensasarkan sumbangan wakaf tunai daripada kerajaan, syarikat-syarikat korporat, badan berkanun, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam serta entiti yang sah di sisi undang-undang sama ada dari dalam atau luar negara.
Katanya, setiap sumbangan akan layak mendapat potongan cukai 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah subseksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.
“Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat dan keistimewaan kepada pendeposit. Antaranya, pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah,” jelas beliau lagi.