suria

Perkeso bayar lebih RM5.82 bilion faedah kepada pencarum pada 2024

Sumbangan dalam bentuk pembayaran faedah diberikan oleh Perkeso pada Khamis.

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) menyelesaikan pembayaran faedah berjumlah lebih RM5.82 bilion kepada hampir 872,000 pencarum yang layak pada 2024.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata jumlah pembayaran faedah ini mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan keberkesanan langkah-langkah yang diambil untuk memperluas perlindungan kepada pekerja dan pencarum.

"Bagi 2024, pembayaran faedah untuk pencen penakat adalah yang tertinggi, merekodkan pembayaran berjumlah RM2.412 bilion diikuti pencen ilat dan bantuan ilat bernilai RM1.195 bilion dan lebih RM627 juta untuk Faedah Hilang Upaya Kekal.

"Menerusi penguatkuasaan siling gaji baharu daripada RM5,000 ke RM6,000 bagi maksud caruman bermula 1 Oktober 2024, langkah itu kemudiannya dilihat dapat diterjemahkan kepada pembayaran faedah yang lebih baik dan meluas kepada pencarum," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Kesuma Perkeso 2025 yang diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada Khamis.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Antarabangsa Kementerian Sumber Manusia, Mohd Shaharin Umar, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Steven ketika memberi ucapan sempena Majlis Iftar Kesuma Perkeso 2025.

Dalam perkembangan lain, Steven turut meluahkan kebimbangan mengenai peningkatan kes kemalangan yang dikategorikan sebagai bukan bencana kerja.

“Pada bulan Januari 2025, Perkeso mencatatkan 177 kes dalam kategori tersebut.

“Jumlah keseluruhan kemalangan yang dilaporkan kepada Perkeso sepanjang Januari 2025 adalah 7,137, termasuk 3,906 kes yang diklasifikasikan sebagai bencana kerja,” katanya lagi.

Menurutnya, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) menyediakan perlindungan kepada pekerja namun ia hanya terpakai jika kemalangan mereka disahkan sebagai bencana kerja atau penyakit khidmat.

Pada majlis sama Perkeso turut melancarkan iklan Raya bertajuk Demi Kasih yang menampilkan Johan Asari, Zukifli Ismail, dan Rosnah Johari sebagai teraju.

Acara diteruskan dengan pemberian sumbangan, di mana lebih RM96,000 disalurkan dalam bentuk pembayaran faedah kepada sembilan individu. 

Manakala, 36 balu atau penjaga penerima faedah serta 90 anak yatim turut menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan hamper semasa majlis tersebut.

Jumlah tertinggi disumbangkan untuk Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK), iaitu sebanyak RM24,000.

Majlis tersebut juga menyaksikan pemberian dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM10,000 kepada 10 badan bukan kerajaan (NGO) yang turut menyertai acara tersebut.

Artikel Lain