TARIKH melihat anak bulan Syawal pada tahun ini ditetapkan pada petang Ahad, 30 Mac 2025.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam satu kenyataan, atas titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selepas diperkenankan Raja-Raja.
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan mengisytiharkan tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan itu melalui radio dan televisyen.
"Bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Syawal ialah pada petang Ahad, 30 Mac 2025 Masihi bersamaan 29 Ramadan 1446 Hijrah," menurut kenyataan itu.
Majlis Raja-raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
Sebanyak 29 lokasi cerapan anak bulan yang ditetapkan di seluruh negara iaitu Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Melaka; Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; Stesen Cerapan Hilal Kampung Pulau Sayak dan Menara Alor Setar di Kedah.
Lokasi melihat anak bulan di Terengganu adalah di Stesen Cerapan Hilal Bukit Besar, Bukit Geliga, Pulau Perhentian serta Balai Cerap KUSZA manakala di Kelantan di Stesen Cerapan Hilal Bukit Kampong Tembeling, Menara Bangunan SEDC serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh di Kelantan.
Bagi lokasi di Sarawak adalah Pusat Falak Miri dan Bintulu serta Teluk Bandung di Sarawak.
Sementara itu, lokasi lain termasuk Menara 188 Kuantan, Tapak Cerapan Hilal Bukit Tanjong dan Gunung Berincang di Pahang; Balai Cerap Al-Biruni serta Menara Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sabah dan Menara Kuala Lumpur, selain Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) serta Masjid Al-Hussain di Kuala Perlis.