suria

Esok sambung lagi... Keputusan kes Syed Saddiq bukan hari ini

Syed Saddiq ketika ditemui di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Rabu. -Foto Low Boon Tat / The Star

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya memaklumkan tiada keputusan dibuat pada Rabu berhubung rayuan Ahli Parlimen Muar, Sted Saddiq Syed Abdul Rahman bagi mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

"Hari ini, kita dengar rayuan perayu, Syed Saddiq terlebih dahulu dan akan berhenti seketika untuk rehat tengah hari.

"Esok, kita boleh sambung dengan hujahan daripada pihak pendakwaan,” menurut Hakim Ahmad Zaidi.

Terdahulu, mStar pada Selasa melaporkan prosiding  rayuan Syed Saddiq akan mula didengar di Mahkamah Rayuan Putrajaya selama dua hari pada Rabu dan Khamis. 

Pada 9 November tahun lalu, Syed Saddiq, 33, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.

ARTIKEL BERKAITAN: Prosiding penentuan nasib Syed Saddiq bermula esok, mahkamah dengar hujahan rayuan selama 2 hari

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan Syed Saddiq menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018.

Dua pertuduhan lain, beliau didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bekas Presiden MUDA itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Artikel Lain