BERDEPAN dengan layanan kurang memuaskan ketika berkunjung ke sebuah kedai emas, usahawan yang juga personaliti media sosial, Syed Muhammad Shah Hasif meluahkan rasa kecewa menerusi media sosialnya.
Lebih dikenali sebagai Prince Syed Shahid, usahawan itu berkata dia mengunjungi kedai emas tersebut untuk membeli barang kemas buat isterinya, Fatin Syazwani Ishak sempena Aidilfitri tidak lama lagi.
Bagaimanapun dakwanya, seorang kakitangan di kedai emas berkenaan memberikan layanan kurang mesra serta tidak acuh terhadap mereka.
Pasangan pempengaruh ini turut terkenal kerana sering menggayakan busana yang 'rare'.
"Menyesal aku datang sini hari ni, padahal hari ni aku budget hampir RM90,000 untuk shopping set-set emas untuk isteri aku buat raya kali ni sebab wife berkenan nak cari design bunga-bunga pula.
"Baru tanya pasal cincin tapi layanan macam hampeh, kurang ajar. Kenapa? Kau tengok aku pakai simple macam ni kau ingat aku tak ada duit ke?
"Staf perempuan tu memang silaplah buat customer macam aku ni teruk macam ni," tulisnya pada kapsyen video yang dikongsikan di TikTok.
ARTIKEL BERKAITAN: Luluh hati isteri lihat gumpalan rambut dalam laksa... Usahawan ‘penat’ 2 kali rebus tetap ada, netizen cadang buat ujian DNA
ARTIKEL BERKAITAN: Tanah lembik, tetap pakai heels ziarah kubur bapa mentua! Hanya suami yang faham, anggap isteri insan hebat
Syed yang pada awalnya merakam momen-momen gembira untuk menghadiahkan isterinya barang kemas, akhirnya mengambil keputusan untuk menghentikan rakaman kerana terkesan dengan layanan yang diberikan staf wanita terbabit.
Menerusi rakaman yang dikongsi kedengaran suara staf berkenaan yang kurang mesra, selain dilihat seolah-olah 'membaling' cincin emas yang ingin dicuba oleh isterinya.
"Siap baling je cincin dekat kami ya, bagaimana kamu boleh layan customer macam ni, lepas tu kau tinggi suara dekat aku dan wife... pandang kami macam tak ada duit dengan muka sinis," kongsinya lagi.
Menyesal aku datang sini hari ni, padahal hari ni aku budget hampir RM90,000 untuk shopping.
PRINCE SYED
Disebabkan terlalu kecewa, Syed berkata dia dan isterinya membatalkan hasrat untuk berbelanja di premis berkenaan.
Sehingga kini, video yang dikongsikan di laman TikTok sejak Isnin meraih lebih 2.7 juta jumlah tontonan.
Rata-rata netizen turut meluahkan rasa kesal dan geram dengan insiden yang menimpa pasangan pempengaruh ini selain mendesak kedai emas tersebut membuat permohonan maaf.
Dalam perkembangan terbaharu, kedai emas berkenaan, Haniffa Jewellers menerusi akaun TikTok mereka pada petang Selasa, tampil membuat permohonan maaf susulan insiden tersebut.
Netizen turut meluahkan rasa geram dengan sikap staf kedai emas berkenaan.
Malah jurucakap kedai emas itu berkata, tindakan telah pun diambil terhadap staf yang terbabit.
"Kami ingin memohon maaf di atas perkhidmatan yang tidak memuaskan yang telah diberikan oleh salah seorang staf kami, yang baru-baru ini (viral) di TikTok.
"Staf yang terlibat telah dipindahkan ke jabatan lain sementara perkara ini dalam siasatan.
"Jika perkara ini dilaporkan pada ketika itu, kami akan dengan kadar segera selesaikan situasi yang berlaku.
"Sekali lagi kami mohon tulus ikhlas atas apa yang berlaku," ujarnya lagi.