PROSIDING rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), akan mula didengar di Mahkamah Rayuan, Putrajaya selama dua hari bermula esok (Rabu).
Pada 9 November tahun lalu, Syed Saddiq, 33, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan Syed Saddiq menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.
ARTIKEL BERKAITAN:Didapati bersalah atas empat pertuduhan... Syed Saddiq dihukum penjara 7 tahun, denda RM10 juta
Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018.
Dua pertuduhan lain, beliau didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Bekas Presiden MUDA itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Difahamkan pada prosiding esok, pasukan pembelaan yang mewakili Syed Saddiq iaitu Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik akan mengemukakan hujahan, manakala pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin selaku responden.
Sekiranya keputusan rayuan tidak memihak kepadanya, Ahli Parlimen Muar itu bagaimanapun mempunyai satu lagi peluang membuat rayuan terakhir di peringkat Mahkamah Persekutuan.