suria

Pemandu, kelindan dipercayai anak beranak rentung dalam kemalangan babit 2 treler

Keadaan dua treler yang terbabit dalam kemalangan pada pagi Selasa. -Foto Ihsan bomba

DUA individu dipercayai anak beranak rentung selepas treler dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lagi treler sebelum terbakar, dalam kemalangan di Kilometer 331.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, pagi Selasa.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan berkenaan pada 7.46 pagi.

Ujarnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dikejarkan ke lokasi kejadian.

 

"Komander operasi melaporkan bahawa kemalangan membabitkan treler muatan pasir yang melanggar bahagian belakang treler muatan kapas.

"Pemandu lelaki treler muatan pasir yang berusia lingkungan 40-an, didapati tersepit dalam kenderaan yang rentung.

"Seorang lagi mangsa iaitu kelindan, dipercayai anak lelaki kepada pemandu turut ditemui rentung. Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat," katanya dalam satu kenyataan.

Sabarodzi berkata mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Lain