suria

Tragedi waktu sahur: Dua cedera, tiga maut selepas kereta dinaiki dilanggar lori

Kemalangan di Lebuhraya Utara menghala Selatan membabitkan empat jenis kenderaan.

TIGA individu maut, manakala dua lagi mengalami kecederaan dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah kereta serta dua lori di Kilometer 58.4 Lebuhraya Utara-Selatan, awal pagi Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang, Kedah, Zulkifli Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 3.24 pagi sebelum mengerahkan pasukan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, seramai tujuh anggota diketuai Muhamad Farid Abdullah bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Tiga mangsa yang berada dalam kereta Proton Saga BLM disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tersepit dalam kenderaan mereka.

“Dua lagi mangsa yang menaiki kenderaan pacuan empat roda mengalami kecederaan dan telah diberikan rawatan sebelum dihantar ke hospital dengan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan operasi tersebut mengambil masa kira-kira 20 minit.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.02 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu hantaran di Facebook pada pukul 7.16 pagi memaklumkan bahawa keadaan trafik terkawal dengan lorong kanan telah dibuka semula.

Bagaimanapun, lorong kiri masih ditutup bagi tujuan pembersihan dan siasatan lanjut.

Artikel Lain