suria

Syed Saddiq kecewa kes tangguh lagi, timbalan pendakwa raya sakit tekak - “Saya doakan pulih cepat”

Syed Saddiq hadir pada hari kedua prosiding rayuannya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada Khamis.

MAHKAMAH Rayuan pada Khamis menangguhkan prosiding rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi mengetepikan sabitan empat tuduhan berkaitan dana Armada yang dihadapinya.

Penangguhan itu diputuskan panel hakim yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin berikutan faktor kesihatan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

ARTIKEL BERKAITAN: Nasib Syed Saddiq bakal ditentukan hari ini... Bella Astillah tetap hadir tanda sokongan

Wan Shaharuddin yang sedang berhujah bagi pihak responden, tidak dapat meneruskan hujahan selepas mengalami masalah 'hilang suara'.

Beliau kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa sedang mengalami sakit tekak dan memerlukan kira-kira 45 minit untuk menyudahkan hujahan.

"Sebolehnya saya mahu habiskan hujahan tapi saya tidak tahu hendak buat macam mana sebab sakit," katanya.

Sehubungan itu panel hakim menangguhkan prosiding seterusnya yang akan bersambung pada 17 April depan.

Sementara itu, Syed Saddiq ketika ditemui pemberita meluahkan kekecewaan dengan keputusan penangguhan tersebut. 

"Tipu kalau saya kata bahawa saya tidak terkesan atau tidak kecewa... sebagai salah seorang yang sudah lima tahun tuntut keadilan dan kebenaran, dan proses ini ditangguhkan lagi.

"Saya kecewa tapi saya tetap menghormati institusi kehakiman. Saya disiasat dan didakwa sejak lima tahun lalu, tetapi tidak pernah sekali pun saya menangguhkan kes.

"Saya benar-benar berharap dua hari terakhir ini akan menjadi pengakhiran. Saya harap proses berjalan lancar, doakan yang terbaik bukan saja untuk saya tapi pihak pendakwa raya pulih secepat mungkin," katanya sambil menambah bahawa dia akan terus berjuang untuk membersihkan namanya di mahkamah.

Terdahulu bekas menteri belia dan sukan itu tiba di mahkamah lebih awal iaitu sekitar pukul 10.20 pagi.

Selain ahli keluarga dan rakan-rakannya, turut kelihatan ialah pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz dan pelakon Bella Astillah yang hadir memberi sokongan.

Artikel Lain