PEMBAYARAN Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 akan mula dibuat pada Isnin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, STR Fasa 2 memperuntukkan sebanyak RM1.7 bilion berbanding RM1.5 bilion tahun lalu.
Malah, ia dijangka memanfaatkan hampir sembilan juta penerima yang akan mendapat bantuan sehingga RM650.
"Kerajaan Madani kekal peka akan keperluan golongan terbanyak dalam mengharungi beban kos sara hidup, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri.
"Peningkatan peruntukan STR dan SARA pada tahun 2025 sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion adalah ikhtiar untuk meningkatkan martabat hidup rakyat secara saksama," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
STR Fasa 2 akan disalurkan menerusi pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan.
Jika nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka boleh membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.
Orang ramai juga boleh membuat semakan status kelayakan mereka di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.