APALAH ertinya Ramadan tanpa menyantuni insan-insan yang memerlukan.
Sempena meraikan keberkatan bulan yang mulia ini, portal hiburan dan gaya hidup mStar, dengan kerjasama syarikat pengurusan acara, Indigital meraikan 32 anak yatim dari Rumah Bakti Al-Kausar, Bandar Baru Bangi dalam satu majlis berbuka puasa yang turut dihadiri selebriti tempatan.
Ketua Pengarang Berita mStar, Niezam Abdullah berkata, acara ini adalah salah satu program yang dirangka pada tahun ini sempena meraikan ulang tahun ke-20 mStar.
Ketua Pengarang mStar, Niezam Abdullah (enam, kiri) dan selebriti Haiza menyampaikan sumbangan kepada Pengurus Rumah Bakti Al-Kausar, Airol Faraqee Abu Bakar (tengah).
"Acara ini ialah sebahagian daripada aktiviti bagi memeriahkan sambutan 20 tahun mStar dan salah satu daripadanya ialah meraikan anak-anak yatim.
"Pihak kami turut bekerjasama dengan syarikat pengurusan cara, Indigital yang turut menghulurkan wang sumbangan kepada rumah kebajikan serta duit raya kepada anak-anak yatim untuk kegunaan mereka sempena Aidilfitri," katanya.
Wajah ceria penghuni Rumah Bakti Al-Kausar menerima duit raya.
Dalam majlis penuh barokah ini, Indigital berbesar hati menyampaikan sumbangan wang berjumlah RM5,000 kepada Rumah Bakti Al-Kausar sebagai persediaan meraikan Syawal.
Antara selebriti yang turut menyantuni anak-anak yatim di pusat ini adalah Haiza, Dafi, Izzrin Irfan dan beberapa selebriti media sosial.
Sekitar majlis Tautan Kasih mStar-Indigital bersama penghuni Rumah Bakti Al-Kausar.
Majlis dimulakan dengan bacaaan doa oleh Ketua, Bahasa Vertikal mStar, Mohd Fuad Mohd Noor sebelum para hadirin berbuka puasa bersama-sama.
Majlis diteruskan dengan solat Maghrib serta Isyak secara berjemaah.
Bagi menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan, hadirin turut bersama-sama menunaikan solat sunat tarawih yang diimamkan oleh personaliti media sosial, Izzrin.