TAKTIK seorang lelaki yang mendakwa datang ke rumah rakan wanitanya untuk membantu membawa kereta rosak ke bengkel tidak menjadi apabila dia dicekup berkhalwat, awal pagi Ahad.
Menurut Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad, lelaki tersebut ditahan dalam serbuan yang dilakukan di rumah kenalan wanitanya itu di Padang Serai, pada pukul 2.05 pagi.
Ujarnya, lelaki berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu dicekup oleh pegawai masjid terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.
ARTIKEL BERKAITAN: Khalwat: 70 individu dibenar masuk ke tempat hukuman sebat, polis kawal keselamatan
Kata Anwar, ketika pemeriksaan dilakukan, lelaki berkenaan membuka pintu dalam keadaan hanya memakai seluar tanpa baju.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang wanita berusia 42 tahun yang merupakan ibu tunggal berada di dalam sebuah bilik bersama anak perempuannya berusia 12 tahun yang sedang tidur.
"Pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti mereka mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki berkhalwat," katanya.
Tambahnya, siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan berstatus suami orang dan mempunyai enam anak, manakala kenalan wanitanya pula berstatus ibu tunggal yang kematian suami sejak enam tahun lalu.
Pasangan tersebut kemudian dibawa ke balai polis sebelum ke pejabat agama daerah untuk diambil keterangan.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.