KETIKA ramai scammer menggunakan pendekatan canggih, tiga lelaki di Tawau, Sabah ini pula memilih kaedah pukau atau hipnosis bagi memperdaya mangsa mereka untuk mendapatkan wang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian yang berlaku pada 19 Mac lalu di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Haji Karim, Fajar, suspek memukau seorang lelaki melibatkan kerugian bernilai hampir RM30,000.
"Siasatan awal mendapati suspek menggunakan teknik hipnosis atau kawalan minda untuk memanipulasi mangsa sebelum melarikan kira-kira RM30,000.
"Polis menjalankan siasatan terhadap suspek dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita rela hati serah barang kemas dipakai dakwa dipukau, pelaku tenang buat jenayah! Lebih 24 jam baru sedar emas hilang
Susulan itu, polis turut mengedarkan dua imej suspek menunjukkannya memakai jam tangan, berbaju kemeja biru muda, berseluar panjang, bersongkok hitam jalur kuning, berkaca mata dan bersandal hitam.
"Kami menggesa sesiapa yang mengenali suspek atau mengecam pakaiannya untuk tampil membantu siasatan,"tambahnya lagi.
Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi hotline Polis Tawau di talian 089-772121, atau pegawai penyiasat Sarjan Azman Shah Nuhi di talian 013-8988920, atau laporkan ke balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular perkongsian anak mangsa di media sosial yang mengatakan bapanya dipukau tiga individu termasuk suspek dalam gambar, namun dua lagi rakan suspek belum diketahui.