MENINGGALKAN peralatan dan perkakas berniaga di tapak bazar pastinya memudahkan golongan peniaga.
Bagaimanapun, pendedahan yang dibuat pemilik akaun TikTok Itik289674, mengejutkan warga maya.
Ia berikutan, salah sebuah gerai jualan di Bazar Ramadan Stadium Cheras di Sri Permaisuri, Kuala Lumpur ini tidak mengendalikan bahan jualan mereka dengan bersih.
Menerusi klip video tular, produk jualan seperti sosej dan bebola ayam mahupun ikan yang akan dijual hanya diletakkan di dalam bakul raga.
Bukan itu sahaja, peniaga terbabit menggunakan plastik kanvas yang sering dijadikan bumbung khemah sebagai penutup bahan jualan tersebut.
Van KKM telah membuat pemeriksaan di lokasi terbabit
Malah, bagi mengelakkan plastik kanvas itu daripada ditiup angin, kerusi plastik digunakan sebagai 'pemberat' dan diletakkan di atasnya.
Menurut pemilik akaun, peniaga tersebut dipercayai mengamalkan cara penyimpanan seumpama itu sejak minggu lalu.
"Tak boleh sangka baik sebab dari minggu lepas buat macam ni," katanya.
Video tular berdurasi 31 saat itu kemudiannya mengundang pelbagai reaksi warga maya sehingga akhirnya mendapat perhatian pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Susulan itu, bertindak atas aduan yang diterima, difahamkan pihak KKM sudah membuat serbuan di lokasi terbabit kira-kira pukul 12 tengah hari, Selasa.
Perkara itu dimaklumkan salah seorang pelayar TikTok yang mengikuti perkembangan isu berkaitan.
"Aku nampak KKM dah buat pemeriksaan dekat tapak bazar ni. Aku duduk area sini, mantap... laju KKM buat kerja.
Dalam pada itu, pemilik video turut berkongsikan beberapa keping gambar yang memaparkan van milik agensi terbabit di lokasi kejadian.