suria

‘Minah kilang’ mengaku bersalah cabul 'GF' bawah umur

Farisha mengaku bersalah atas tuduhan amang seksual dilakukan.

SEORANG pekerja kilang berusia 20 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul seorang remaja perempuan bawah umur, dipercayai teman wanitanya.

Tertuduh, Nur Farisha Syahaniey Muhamad Shukur, didakwa atas dua pertuduhan serangan seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Felda Sungai Sibol, Kulai di Johor pada pertengahan tahun lalu.

Sementara itu, pertuduhan kedua menyatakan bahawa Farisha sekali lagi melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi yang sama pada Februari lalu.

Pada Khamis, tertuduh mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Thalha Bachok @ Embok Mok.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin, memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia perlu membantu ibunya menjaga adik-adik yang masih bersekolah.

"Saya tidak mampu membayar jumlah jaminan yang tinggi kerana gaji asas saya hanya RM1,500," katanya.

Selepas mempertimbangkan rayuan tersebut, Thalha membenarkan jaminan sejumlah RM11,000.

Mahkamah menetapkan 28 April untuk sebutan dan keputusan kes.

Dalam Islam, hubungan songsang seperti homoseksual dianggap sebagai perbuatan yang bertentangan dengan fitrah manusia dan hukum syariat. 

Malah, di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah juga melarang perbuatan ini dan mengingatkan umat Islam agar menjauhinya. -The Star

Artikel Lain