suria

Kecoh bayi kembar diculik... Hospital Kuala Lipis nafi dakwaan, buat laporan polis

JKNP menafikan dakwaan sepasang bayi kembar diculik di Hospital Kuala Lipis. -Gambar hiasan

KECOH di media sosial sejak Jumaat mengenai dakwaan sepasang bayi kembar yang dilarikan oleh seorang 'doktor' ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis, Pahang.

Menafikan dakwaan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) pada Sabtu tampil memberikan penjelasan untuk mengelakkan kekeliruan dan spekulasi ramai.

JKNP memaklumkan hasil siasatan yang dilaksanakan mendapati tiada bayi kembar menerima rawatan selama sembilan bulan di wad kanak-kanak hospital tersebut, seperti yang didakwa.

Selain itu, jabatan itu turut menafikan dakwaan mengenai kewujudan seorang doktor bernama Dr Amalina Husna yang dikatakan bertugas di hospital tersebut dan mengendalikan rawatan 'bayi kembar' berkenaan. 

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga burger ke penjara... Padah culik wanita OKU!

"Semakan rekod mendapati kali terakhir ibu berkenaan menerima rawatan di Hospital Lipis ialah pada Julai 2024.

"Manakala bagi dakwaan wujudnya doktor yang bernama Dr Amalina Husna yang dikatakan merawat 'bayi' itu didapati tiada rekod doktor tersebut pernah bertugas di Hospital Kuala Lipis," menurut JKNP dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut JKNP, pihaknya memandang serius tuduhan dilemparkan itu kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti pengurusan dan perawatan di Hospital Kuala Lipis

Sehubungan itu, laporan polis sudah dibuat oleh pengurusan tertinggi Hospital Kuala Lipis bagi mengelakkan sebarang berita tidak berasas disebarkan.

"JKNP mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dalam penyebaran maklumat jika tidak pasti kesahihannya," menurut kenyataan itu lagi.

Terdahulu pada Jumaat, tular satu hantaran yang dimuat naik oleh seorang individu di Facebook mendakwa bayi kembarnya hilang dipercayai diculik seorang doktor palsu.

Menurut individu itu, bayi kembarnya yang berusia sembilan bulan ditahan di wad Hospital Kuala Lipis kerana masalah paru-paru. 

Dalam pada itu, semakan mStar mendapati hantaran asal yang dimuat naik individu berkenaan sudah dipadamkan. 

Artikel Lain