NIAT baik pempengaruh dan usahawan terkenal, Jofliam, berkongsi rezeki selepas melangsungkan perkahwinan dengan Emira Delyati Dewi mencetuskan sedikit kontroversi.
Menerusi satu hantaran tular, seorang wanita memuat naik foto piza percuma berkenaan dan meluahkan rasa kecewa dengan saiz serta kualitinya.
Malah, piza berkenaan turut disamakan dengan roti nan cheese kerana saiznya yang kecil dan sedikit rentung.
Posting asal di media sosial.
"Nan cheese mamak depan rumah nampak lagi menyelerakan dari yang ini.
"Piza pun rentung. Kasihan la walajo (peminat Jofliam) tu. Macam tu je dapat," komen netizen.
Jofliam atau nama sebenarnya Suhaimi, sebelum ini berjanji akan memberikan piza secara percuma kepada orang ramai apabila dia selamat mendirikan rumah tangga.
Dia sah bernikah dengan Dewi pada 5 April lalu dalam sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri keluarga dan rakan rapat.
Komen beberapa netizen di media sosial.
Sebagai ganti majlis resepsi, Jofliam menganjurkan rumah terbuka dan menepati janjinya dengan pemberian piza dan makanan percuma pada Ahad, bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Menariknya, tetamu perlu ‘battle’ atau bersaing untuk mendapatkan piza tersebut sebagaimana dimaklumkan sebelum ini.
Acara tersebut dihadiri peminat, malah turut dimeriahkan dengan pelbagai juadah seperti char kuey teow, apam balik, cendol, pasta, lemang serta air kopi dan teh ais.
Hantaran Jofliam sebelum ini mengenai pemberian piza percuma.
Dalam beberapa perkongsian video di laman Instagram milik Jofliam, kelihatan ramai tetamu teruja dan menikmati suasana santai bersama keluarga sambil menjamu selera.
Pada September 2024, Jofliam yang terkenal dengan piza wagyu 'signature' menerima pengiktirafan apabila disenaraikan dalam 100 Chef Pizza Terbaik Dunia 2024 pada kedudukan ke-99.
Namun difahamkan, bagi meraikan peminat pada hari resepsinya, piza yang diagihkan bukan versi wagyu premium, sebaliknya jenis peperoni biasa.
Untuk rekod, Jofliam sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama personaliti media sosial, Cik Epal, sebelum berpisah pada Oktober 2024.
Pasangan ini memiliki sepasang cahaya mata iaitu Han dan Yuki sepanjang 10 tahun selepas berkahwin pada 1 Jun 2014.