suria

Pemuda ditahan kes pecah masuk 4 masjid

Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pecah masuk masjid. -Gambar hiasan

POLIS menahan seorang lelaki berusia 25 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes pecah masuk masjid di sekitar Putatan, Sabah.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek ditahan oleh pasukan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di hadapan sebuah hotel di Tuaran.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam empat kes pecah masjid di sekitar Putatan, dengan anggaran kerugian berjumlah RM3,250.

"Turut dirampas adalah sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Kota Kinabalu, dipercayai digunakan oleh suspek dalam melaksanakan aktiviti jenayah," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di kediaman suspek membawa kepada penemuan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk jenayah serta sejumlah wang tunai.

"Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

Artikel Lain