SEORANG remaja lelaki nyaris diculik ketika berjoging dalam satu kejadian di Seksyen 13, Shah Alam pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian pada kira-kira pukul 5.15 petang, mangsa berusia 15 tahun sedang berjoging seorang diri sebelum didatangi sebuah kereta lama warna kelabu.
Menurutnya, kereta berkenaan dinaiki dua lelaki tidak dikenali.
"Kedua-dua mereka turun dari kereta sebelum mengacukan pisau serta mengarahkan mangsa masuk ke dalam kenderaan.
"Mangsa enggan dan berlaku pergelutan dengan suspek sebelum dia berjaya melarikan diri ke pondok pengawal di sebuah kondominium berdekatan untuk mendapatkan bantuan.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan berupa luka pada pipi sebelah kanan serta luka di lengan kanan dan kiri,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Mohd Iqbal berkata, mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
"Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani di talian 017-2892628,” katanya.