suria

Tragis... 8 anggota FRU maut selepas terlibat nahas dengan lori muatan batu

Lapan anggota FRU disahkan terbunuh dalam insiden pada pagi Selasa.

SERAMAI lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terbunuh selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan batu.

Dua kenderaan itu bertembung di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan kira-kira pukul 8.30 pagi, Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon turut mengesahkan lapan anggota maut dalam kejadian itu.

"Setakat ini mangsa yang disahkan maut seramai lapan orang. 

"Kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi media pada Selasa.

Difahamkan, kenderaan FRU itu membawa 15 anggota dan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas tugas Op Chariot di Teluk Intan.

Mangsa yang berjaya dikeluarkan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi JBPM Perak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.54 pagi.

Artikel Lain