suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Pengampunan bersyarat Najib jelas dan sah, Agong ingatkan jangan ingkar titah tahanan rumah

Pertikaian mengenai titah Baginda boleh disifatkan sebagai ingkar.

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan pengampunan bersyarat yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah adalah jelas, sah dan mengikat sepenuhnya.

Menerusi kenyataan diraja yang dikeluarkan Istana Negara pada Sabtu, baginda turut menegaskan semua syarat yang ditetapkan dalam titah berkenaan telah dipenuhi.

Ekoran itu, Baginda memberi peringatan bahawa sebarang hujah lanjut yang mempersoalkan keputusan tersebut disifatkan sebagai mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.

"Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah meneliti petisyen Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

"Mesyuarat turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara telah memberikan nasihat yang sewajarnya kepada Sultan Ibrahim.

"Selanjutnya Seri Paduka Baginda telah memerintahkan Mohd Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah tertakluk syarat iaitu bayar denda RM50 juta," demikian kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya lagi, kuasa pengampunan merupakan prerogatif Diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan pelasanaan kuasa tersebut hendaklah dihormati selaras kedudukan Raja Berpelembagaan dan Prinsip Kedaulatan Undang-Undang.

Perkembangan itu menyusuli pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Jumaat bahawa pelaksanaan tahanan rumah Najib wajar ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat.

Menurut AGC, persoalan perundangan timbul mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International.

Jabatan itu menjelaskan terdapat dua tafsiran yang memerlukan penelitian, termasuk sama ada bayaran tersebut hanya menyelesaikan hukuman denda, manakala baki hukuman penjara terus dijalani secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Tafsiran kedua pula ialah pembayaran denda menjadi syarat pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, sekali gus menyebabkan keseluruhan hukuman kes SRC International, termasuk penjara, dianggap selesai. 

Persoalan itu turut melibatkan perintah mahkamah bertarikh 6 November yang mengarahkan Najib dilepaskan serta-merta selepas pembayaran denda, namun pada masa sama menetapkan baki hukumannya dijalani secara tahanan rumah.

AGC memaklumkan status hukuman SRC International juga mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan hukuman Najib dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditetapkan bermula selepas hukuman kes SRC International selesai.

Sehubungan itu, jabatan berkenaan berpandangan Najib perlu dikekalkan di tempat tahanan sedia ada sementara penelitian dilakukan.

Bagaimanapun, AGC menegaskan penangguhan tersebut bukan bertujuan mempertikaikan atau mengetepikan titah baginda, sebaliknya memastikan pelaksanaannya serta perintah mahkamah berkaitan dibuat dengan tepat dan teratur.

Artikel Lain