suria

Salah sebut sujud: “Pengulas kena peka banyak benda, saya mohon maaf”

Pengulas berkenaan, Rasdi Jumaat mengakui tersilap kata-kata dalam ulasan pada Ahad lalu.

PETALING JAYA: Acara perlumbaan Motosikal Grand Prix (GP) Malaysia ternyata menarik perhatian ramai sehingga menjadi topik perbualan utama di media sosial.

Ia gara-gara keterlanjuran kata pengulas bertugas yang tersilap menyebut sujud sahwi sewaktu pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah melakukan sujud syukur sejurus berakhirnya perlumbaan.

Pengulas Radio Televisyen Malaysia (RTM), Rasdi Jumaat ketika dihubungi mStar Online mengakui sedar kesilapannya itu yang dilakukan sewaktu siaran langsung, Ahad lalu.

"Ia berlaku secara spontan, masa mengulas tu pengulas kena peka dengan banyak benda. Arahan penerbit, ulasan Inggeris, suara rakan sebelah lagi.

"Tambahan pula mengulas sukan melibatkan kelajuan. Saya akui ‘slip tongue’ pada hari itu dan saya mohon maaf.

"Kadang-kadang orang tak tahu persekitaran sewaktu kita mengulas, bekerja dalam tempoh lama. Nak cakap benda lain tapi terkeluar ayat lain," katanya pada Selasa.

Menurut Rasdi, dia sedar mengenai penularan video melibatkan kesilapannya tempoh hari di laman sosial.

Pelumba negara, Hafiz Syahrin menamatkan perlumbaan di tangga ke-10 Ahad lalu.

Ujar pengulas yang memiliki hampir 10 tahun pengalaman itu, dia juga sudah menjangka mengenai perkara itu.

"Memang saya dah jangka, apa agaknya reaksi peminat sukan. Bila berlaku satu kesilapan, memang meletup.

"Tapi Alhamdulillah juga sebab ramai yang menonton dan peka dengan perkara itu. Saya tak ambil hati," katanya lagi.

Sementara itu, video ulasan 'sujud sahwi' itu mula ditularkan netizen sejak Ahad lalu menerusi beberapa platform seperti Twitter, Facebook dan Instagram.

Malah, rata-rata netizen turut menyifatkan kesilapan itu sebagai sesuatu yang menghiburkan dan bukanlah kesilapan besar.

Selain sukan permotoran, Rasdi juga aktif mengulas sukan-sukan lain seperti sepak takraw.

Dalam perlumbaan Ahad lalu, pelumba negara, Hafiz Syahrin menamatkan perlumbaan di tangga ke-10.

Acara berlangsung di Litar Sepang itu turut disertai pelumba terkenal dari Itali, Franco Morbidelli.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain