suria

Kejutan kek hari jadi musnah, rakan dedah kisah sebenar pemuda menangis dicurangi kekasih

PETALING JAYA: Hari ulang tahun kekasih tersayang pastinya menjadi saat yang dinanti-nantikan untuk si dia diraikan dengan penuh kejutan.

Begitu juga dengan seorang pemuda yang begitu teruja untuk menyambut hari jadi kekasihnya, namun hasratnya itu tidak kesampaian selepas mendapati teman wanitanya curang bersama lelaki lain.

“Rakan semangat beli kek mahal-mahal nak buat kejutan hari ulang tahun kekasih dia.

“Bergegas habis peperiksaan, terus ke bandar dengan aku naik motor petang tadi. Dalam perjalanan balik, dia ternampak makwe (kekasih) dia gelak sakan dengan lelaki lain dalam kereta kat (persimpangan) lampu isyarat,” tulis seorang pemuda menerusi laman sosial Twitter @ismihaqeem pada Sabtu malam.

Posting itu tular dan setakat ini diulang kicau hampir 30,000 kali.

Luqman Hakkim Abd Razak, 23, yang menulis mengenai insiden tersebut di Twitter memberitahu, 'adegan' itu berlaku kepada teman rapat juga rakan sekolejnya yang hanya mahu dikenali sebagai Pesa.

Namun pelajar Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKMSAS) di Tanjung Rambutan, Perak ini menjelaskan bahawa insiden rakannya yang berusia 22 tahun dicurangi kekasihnya itu berlaku sekitar awal tahun ini.

“Memang saya temankan dia beli kek hari jadi pada Sabtu, tapi kek dalam gambar tu untuk sambut birthday rakan sebilik Pesa, semalam (Ahad).

“Pesa pun teringatlah insiden nak bagi kek surpise buat kekasih dia, yang kemudian 'kantoi' bermesra dengan lelaki lain. Sebenarnya, tempat ‘kantoi’ tu kat persimpangan lampu isyarat yang sama dan dia pun masa tu naik motor juga. Sebab tu dia teringat dan sedih,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Luqman Hakkim yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan paramedik ini berkata, duit untuk membeli kek buat rakan sebilik Pesa adalah hasil perkongsian teman-teman kolej.

Secara kebetulan, kek yang dibeli mereka pada Sabtu itu daripada jenama yang sama, berharga lebih RM100, sama seperti yang sepatutnya diberikan kepada kekasih Pesa ketika itu. 

“Banyak kebetulan yang sama, memanglah teringat. Jadi, saya tak sampai hati bila tengok dia sedih dan ambil keputusan untuk singgah di sebuah gerai dalam perjalanan pulang ke kolej, untuk tenangkan dia.

“Ikutkan Pesa ni seorang yang ceria dan ‘happy go lucky’ tapi dia ni suka sangat pendam perasaan. Bila dah tak tahan, tu yang menangis betul, terlalu emosi,” katanya sambil menambah bahawa rakannya itu pernah berkongsi kisahnya yang putus cinta kerana dicurangi kekasih sebelum ini.

Luqman Hakkim yang juga seorang jurugambar sambilan memberitahu, dia cuba untuk menenangkan rakannya itu kerana tidak mahu menjejaskan semangatnya yang sedang menduduki peperiksaan ketika ini.

“Kami menduduki peperiksaan pada minggu lepas dan minggu ini. Jadi, saya tak mahu dia terganggu hanya kerana teringatkan bekas kekasih. Ada lagi beberapa ‘paper’ (kertas peperiksaan) lagi.

“Saya beritahu dia yang benda (putus cinta) dah lepas, jadi buka buku baharu. Benda tu sekadar ujian untuk kita. Setiap orang ada lain-lain ujian. Jadi, kena bersabar hadapi ujian itu,” katanya mengenai Pesa yang merupakan anak bongsu. 

Luqman Hakkim cuba memberi semangat  kepada rakannya yang sedang menduduki peperiksaan. Foto Instagram ismihqem

Tambah Luqman Hakkim, dia berharap teman rapatnya itu menjadikan kisah putus cintanya sebagai pengajaran untuk melangkah ke hadapan dan berfikiran positif.

“Kami ni masih lagi belajar, jadikan pendidikan sebagai komitmen dan tanggungjawab dalam hidup. Buatkan ibu bapa gembira dengan kejayaan kita.

“Saya pun pernah bercinta dan gagal dalam perhubungan. Semua tak boleh lari (daripada bercinta) cuma biarlah berpada-pada supaya tak terlalu kecewa di kemudian hari. 

"Kalau putus cinta, insyaAllah ada peluang untuk bercinta lagi dan jumpa pasangan yang lebih sesuai. Yang penting kita ‘move on’ (bangkit) dan belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kekasih, curang, kek, hari jadi

Artikel Lain