suria

Walau dimaki, gadis promoter bir minta tidak panjangkan isu

PETALING JAYA: Gadis promoter bir yang dimaki oleh seorang lelaki di sebuah pasar raya menerusi video yang tular sehingga membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia, meminta supaya isu tersebut tidak dipanjangkan.

Perkara itu dimaklumkan oleh syarikat pengeluar minuman keras, Carlsberg Malaysia, tempat gadis tersebut bertugas, dalam satu kenyataan pada pagi Rabu.

Pengarah urusannya, Lars Lehmann berkata, pihaknya kecewa mengenai bagaimana promoter berkenaan diperlecehkan semasa bertugas walaupun memenuhi piawaian dan peraturan.

Menyifatkan tindakan lelaki tersebut merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima, beliau berkata syarikat bagaimanapun berbangga dengan gadis tersebut dalam menangani situasi yang sukar ketika itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maki promoter bir mohon maaf, “Amat menyesal tindakan saya”

Malah katanya, syarikat menawarkan sokongan sebaik sahaja petugas tersebut membuat laporan kejadian. 

“Kami ingin menegaskan bahawa aktiviti pensampelan kami hanya untuk orang bukan Islam pada had usia yang dibenarkan mengikut undang-undang.

“Walaupun kami mempunyai hak di atas perkara (insiden) ini, keutamaan kami adalah keselamatan promoter. Kami menghormati keputusan promoter tersebut untuk tidak memanjangkan perkara ini lagi,” katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Carlsberg Malaysia berhubung insiden promoter syarikat itu dimaki.

Lars berkata, promoter berkenaan menghargai kata-kata sokongan yang diterima daripada semua pihak. 

Tambah Lars, gadis tersebut meminta semua pihak untuk menghormati privasinya dengan tidak menyebarkan imej, video dan maklumat peribadinya.

“Carlsberg Malaysia menghormati keputusan promoter tersebut dan terus menawarkan bantuan kepadanya serta memantau keadaan pada masa sama,” katanya.

Dalam kejadian pada Ahad lalu, seorang lelaki melemparkan kata-kata kesat berbaur perkauman terhadap seorang promoter wanita di rak jualan bir di bahagian barangan tidak halal di sebuah pasar raya di Ampang. 

Menerusi video yang tular, dia juga berterusan mengkritik wanita itu dan mendesaknya untuk bercakap dalam bahasa Melayu kerana katanya ini adalah 'Bumi Melayu'.

Walaupun lelaki berkenaan memarahinya dan mendesak mahu mengetahui sama ada dia mempromosikan bir itu kepada semua orang termasuk orang Islam, promoter itu tetap kelihatan tenang.

Lelaki yang memaki promoter bir  dalam satu video tular membuat permohonan maaf secara terbuka.

Selain memaki dan melayan promoter wanita itu secara kasar, lelaki tersebut turut menunjukkan isyarat lucah sebelum beredar.

Lelaki berkenaan yang lebih dikenali sebagai Edi Rejang kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka di halaman Facebokok, pada malam Selasa.

“Saya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia terutama kepada promoter perempuan tersebut.

“Saya akui kesalahan saya dan amat menyesal di atas tindakan saya terhadap promoter tersebut,” katanya, sambil menambah berharap agar isu berkenaan tidak seharusnya dipanjangkan oleh mana-mana pihak selepas ini.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Carlsberg Malaysia, bir, promoter

Artikel Lain