suria

"Bangunlah Adib, kita kan nak pergi mandi-manda nanti"

Azizul (kiri) meluahkan kesedihan mengenai nasib yang menimpa Adib menerusi satu posting di Facebook pada Selasa.

PETALING JAYA: Kisah mengenai anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang kritikal akibat diserang sewaktu bertugas ketika rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya menyentuh hati bekas rakan sekerjanya.

Menerusi satu posting yang mula tular di laman Facebook, Azizul Asri, 23, meluahkan kesedihan mengenai nasib yang menimba bekas rakan sekerjanya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota bomba cedera parah diserang perusuh, kini kritikal di hospital

"Bangunlah Muhammad Adib. Kita kan nak pergi mandi-manda nanti. Doakan sahabat saya yang kritikal sekarang," tulisnya pada petang Selasa.

Jejaka yang berasal dari Tawau, Sabah itu berkata, dia sudah tiga tahun mengenali Adib dan baru sahaja berhenti kerja sebagai anggota bomba, baru-baru ini.

Adib kini kritikal dan ditempatkan di ICU.

Menurut Azizul, dia terkejut sewaktu menerima perkhabaran mengenai Adib sewaktu bangun tidur, pagi Selasa.

"Saya dapat berita pagi tadi, ada orang balai yang beritahu. Saya memang terkejut. Saya juga ada hubungi rakan untuk mencari kesahihan berita berkenaan.

"Memang sedih, kalau saya tak berhenti kerja, mungkin saya pun akan bertugas sekali dengan dia pada malam kejadian," ujar Azizul sewaktu dihubungi mStar Online.

Menurut Azizul, dia menamatkan perkhidmatan sebagai anggota bomba di Balai Bomba Subang Jaya, Selangor pada 13 November lalu dan kini bertugas sebagai Penolong Pegawai Penguat Kuasa di Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Senai, Johor.

Dalam pada itu, Azizul turut berharap rakannya itu akan kembali pulih seperti sedia kala, sekaligus dapat mereka melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama, seperti suatu ketika dahulu.


Adib (dua dari kiri) bersama Azizul serta rakan-rakan mereka dalam satu perkelahan baru-baru ini. FOTO: Facebook Azizul Asri.

"Hari tu sebelum saya berpindah, kami ada pergi mandi-manda di kawasan air terjun di Ulu Yam. Ada raikan sikit sebab saya dah nak tukar kerja.

"Kami pun ada janji nak mandi-manda lagi kalau ada kesempatan lain kali, kalau saya pergi melawat mereka di Selangor.

"Harapan saya agar dia kembali sembuh, bolehlah pergi mandi-manda dengan kawan-kawan yang lain, saya rindu gelak tawa dia. Sejujurnya dia seorang yang sangat rajin, baik dan suka membantu," ujar Azizul lagi.

Menerusi kejadian pada Isnin malam, Adib mengalami kecederaan parah akibat diserang sewaktu bertugas dalam satu panggilan kecemasan di kuil Sri Maha Mariamman.

Dia kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Subang Jaya dan kini di bawah pengawasan lima doktor pakar, sejak awal pagi Selasa.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain