suria

Pilih konsep perkahwinan Melayu sempoi, majlis dan pelamin DIY pengantin ini tetap lengkap segalanya!

DALAM keghairahan pasangan mempelai yang nak nampak gah di hari perkahwinan mereka, ramai yang sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk tampil dengan gaya dan suasana mewah.

Namun, berbeza bagi pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga pada 1 Disember lalu, Muhammad Naim Mahamad Fauzi dan pasangannya, Baina Syafaa Filzati Mustapha masing-masing memilih untuk menghasilkan pelamin sendiri (DIY) menggunakan bunga, bantal dan beberapa hiasan terpakai lain.

"Sebenarnya ia hanya majlis bertandang dan majlis sebelah lelaki selalunya tak perlu besar-besaran.

"Kami buat di kampung saya, di Padang Sera, Kodiang, Kedah.

"Kami tiada persediaan untuk majlis ini, jadi saya dan isteri sependapat untuk DIY sahaja pelamin kami," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Bercerita mengenai pelamin yang dihasilkan sendiri, Naim berkata dia hanya mengeluarkan kos sebanyak RM500 dan selebihnya hanya menggunakan barang sedia ada.

"Saya tak mahu bazir banyak duit untuk sewa benda yang satu hari sahaja kerana rasa tidak berbaloi.

"Jadi kami hias hanya menggunakan barang sedia ada seperti kerusi rotan, tempayan dan bantal, malahan karpet yang digunakan itu pun saya jumpa dalam simpanan di rumah sahaja.

"Kebetulan, ibu saya seorang tukang jahit. Jadi saya hanya minta dia belikan kain putih untuk dibuat backdrop," ujarnya.

Menggunakan kelebihannya sebagai pereka dalaman, Naim dan isteri yang kedua-duanya berusia 25 tahun memilih untuk membawa konsep Melayu 'sempoi' kerana bosan dengan perkahwinan moden.

"Sebenarnya saya dan isteri adalah interior designer. Kami 'letak' sahaja barangan itu untuk dijadikan hiasan pelamin dan tambah sahaja lighthing," katanya.

Gambar dengan kapsyen 'Simple but cantik! Betul la orang cakap less is better!!' itu diulang kicau (retweet) lebih 5,000 kali dan mendapat lebih 10,000 tanda suka.

Menurut Naim lagi, buat persiapan majlis yang dibantu sepupu dan adik-beradiknya itu hanya memerlukan belanja sebanyak RM3,000 termasuk baju persalinan, solekan dan jamuan makan.

"Baju songket itu kami beli ketika jumbo sale berharga RM90 sahaja semeter.

"Isteri saya pula cerewet untuk mencari jurusolek yang kena dengan taste dia. Jadi saya nasihatkan dia untuk make up sendiri sahaja sebab saya tengok dia pun pandai bersolek.

"Ayah pula bila dah duduk kampung, lembu dan kambing semua dia ternak sendiri, jadi saya tidak pening untuk keluarkan belanja yang besar," ujarnya.

Membalas kenyataan netizen yang mempersoalkan mengenai gelang emas dipakai isterinya, Naim mendedahkan aksesori dipakai isterinya ketika hari persandingan bukanlah emas tulen.

"Aksesori itu bukan emas betul pun. Ia sekadar perhiasan untuk dipakai dengan baju persandingan itu sahaja.

"Kami beli di Kuala Lumpur dengan harga RM270 termasuk rantai dan tiara, katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
pengantin, DIY, gelang emas

Artikel Lain