PETALING JAYA: Tindakan kakitangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencampakkan kotak berisi air zam zam milik jemaah yang baharu pulang menunaikan ibadah umrah telah mengundang kecaman netizen. Video berdurasi 12 saat yang dimuat naik di Facebook milik Zahari Basaruddin dikongsi lebih 21,000 kali dan ditonton seramai lebih 900,000 netizen. Menurut Zahari, kakitangan KLIA telah mencampak air zam-zam ke lantai tanpa rasa segan dan hormat di khalayak umum. "Kejadian hari ini di KLIA. Penat macam mana sekali pun tak wajar tunjuk marah begitu rupa dengan melemparkan air zam zam milik jemaah umrah ke lantai tanpa rasa segan dan hormat. "Malah tindakan itu juga dilakukan di khalayak umum. Kita tak bermaksud nak hukum kakitangan tersebut tapi jelas perbuatannya menyalahi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya entri di Facebook, malam Rabu. Susulan tularnya video tersebut, ia turut mendapat perhatian Pencetus Ummah (PU) Amin. Pemilik nama Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim ini berkata, kakitangan KLIA tersebut tidak patut dipersalahkan sepenuhnya dalam insiden itu. Jelas beliau, pihak pengurusan syarikat pelancongan dan jemaah yang terlibat juga seharusnya bertanggungjawab atas insiden berkenaan. "Pihak pengurusan syarikat pelancongan dan jemaah umrah yang membawa bersama air zam zam itu tak boleh lepas tangan. Mereka juga terpaksa menanggung kesalahan yang sama. Ini kesalahan berkelompok. "Saya fikir kakitangan KLIA campak air zam zam tu sebab dah terlampau padat dan pihak pengurusan syarikat pelancongan atau jemaah yang terlibat pula tidak menguruskan air zam zam itu dengan segera. "Jadi tak adil kalau kita salahkan kakitangan KLIA semata-mata kerana mereka hanya jalankan tugas menyusun beg tersebut. Sepatutnya jemaah yang terlibat kena ambil sendiri air zam zam itu," katanya ketika dihubungi mStar Online. Tindakan mencampakkan kotak berisi air zam zam oleh kakitangan KLIA mengundang kecaman netizen. PU Amin berkata pihak pengurusan syarikat pelancongan yang membawa jemaah umrah terbabit perlu tampil menjelaskan situasi sebenar. "Pihak pengurusan syarikat pelancongan atau jemaah umrah perlu melakukan tindakan yang sewajarnya. "Bukan itu sahaja, pihak pengurusan syarikat pelancongan juga perlu keluarkan kenyataan bagi menjelaskan situasi sebenar bagi mengelakkan satu pihak sahaja yang dipersalahkan dalam hal tersebut," katanya. Ditanya mengenai perbuatan mencampakkan air zam zam itu, PU Amin berkata ia adalah satu kesalahan dari segi adab. "Walaupun tak ada dalil yang mengatakan haram mencampakkan air zam zam, tapi kita lihat dari segi adab. Nak minum air zam zam pun ada caranya. Kita kena menghadap kiblat dan baca selawat barulah ada keberkatannya. "Walau macam mana sekali pun air zam zam tak boleh kita campak-campak ke bawah, ke tempat yang kita pijak, campak dekat lantai atau tanah kerana kesucian air itu berbeza dengan air lain. "Jadi dengan memelihara air zam zam seseorang itu akan dapat pahala, tapi kalau kita buat sesuatu yang tidak baik dengan sengaja atau tidak maka (akan) dapat dosa," katanya. PU Amin berkata pihak pengurusan syarikat pelancongan sepatutnya siap sedia berada di setiap lokasi keluar bagasi untuk mengelakkan insiden yang tidak diinginkan daripada berlaku. "Jadi saya nak tegaskan di sini pihak pengurusan syarikat pelancongan patut standby tunggu air zam zam itu keluar terlebih dahulu bukan hanya mengharapkan kakitangan KLIA semata-mata. "Mana-mana beg kalau dua tiga kali berpusing kakitangan KLIA akan ambil dan letak di bawah. Cumanya nak letak dalam keadaan rapi, sempurna dan tiada cacat cela tu agak mustahil sebab beg terlampau banyak dan air zam zam memang banyak dan berat," katanya. Susulan itu, PU Amin menggesa orang ramai supaya menjadikan insiden yang tular itu sebagai satu pengajaran. "Kesalahan jelas kita nampak pada kakitangan KLIA apabila dia campakkan air zam zam itu. Jadi saya ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa menguruskan air zam zam dengan baik. "Insiden ini jadi pengajaran kepada semua masyarakat bahawa air zam zam tidak boleh dicampakkan sesuka hati, tidak boleh diletakkan di tempat tak elok mahukan dijual pada harga yang tak masuk akal. "Kadang-kadang beli air zam zam tu harganya 7 Riyal tapi ada orang jual sampai RM100... RM200 pun berdosa. Itu lagi haram," katanya.