suria

Kecoh campak air zam zam di KLIA, kakitangan digantung tugas

MEDIA sosial dikejutkan dengan klip video yang memaparkan kakitangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencampakkan kotak mengandungi air zam zam milik jemaah yang pulang menunaikan umrah.

Rakaman berdurasi 12 saat itu tular menerusi perkongsian di Facebook milik Zahari Basaruddin pada malam Rabu.

Tindakan mencampak air zam zam tersebut sebenarnya dilakukan oleh pekerja Pos Aviation Sdn Bhd, anak syarikat Pos Malaysia Berhad.

Antara perkhidmatan Pos Aviation adalah pengendalian darat seperti pengurusan bagasi untuk penumpang. 

Menerusi satu kenyataan di halaman rasmi Facebook Pos Malaysia pada lewat petang Khamis, ia merujuk kepada video perlakuan kakitangan Pos Aviation yang secara kasar mengalihkan kotak barangan dari karusel bagasi di KLIA, sebagaimana yang tular di media sosial.

Tambah kenyataan itu, siasatan awal mendapati punca utama insiden disebabkan kesesakan teruk di bahagian karusel bagasi.

“Perlakuan tersebut sebenarnya dibuat bagi mempercepatkan proses muat turun kotak tersebut.

“Walau bagaimanapun, kakitangan tersebut telah digantung tugas, dan kami memohon maaf di atas kejadian terpencil tersebut,” menurut kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: "Campak air zam-zam tu bukan salah pekerja KLIA saja, tapi..." - PU Amin


Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa anak syarikatnya mengambil berat mengenai pengendalian barangan milik pelanggan dan tindakan susulan akan diambil setelah siasatan selesai dijalankan.

“Pos Aviation akan memastikan kualiti perkhidmatan berada di tahap tertinggi dari segi kerja, etika profesional dan khidmat pelanggan yang dituntut dalam industri,” jelasnya.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selaku pengendali KLIA turut berkongsi kenyataan Pos Malaysia berhubung video kakitangan mencampak kotak berisi air zam zam, di halaman rasmi Facebooknya.

Menerusi perkongsian di Facebook, Zahari mengatakan tindakan kakitangan mencampak air zam-zam ke lantai tanpa rasa segan dan hormat di khalayak umum.

“Kejadian hari ini di KLIA. Penat macam mana sekali pun tak wajar tunjuk marah begitu rupa dengan melemparkan air zam zam milik jemaah umrah ke lantai tanpa rasa segan dan hormat.

“Malah tindakan itu juga dilakukan di khalayak umum. Kita tak bermaksud nak hukum kakitangan tersebut tapi jelas perbuatannya menyalahi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya, sehingga menimbulkan kemarahan netizen berhubung tindakan kakitangan tersebut.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain