suria

“Tak guna minta maaf, dia tak akan kembali,” - bapa tiga anak dikecam kerana jarang luahkan ungkapan sayang

(Gambar kiri) Isteri Khairul, Allahyarham Marleena yang dijemput Ilahi akibat jangkitan kuman. (Gambar kanan) Dua daripada tiga anak Khairul menziarahi pusara ibu mereka. Foto Khairul Abdullah

PETALING JAYA: Benar, hidup perlu diteruskan apabila kehilangan insan tersayang, tambahan pula tiga zuriat masih kecil dengan yang bongsu belum pun cukup setahun usianya apabila bergelar anak yatim.

Namun, hanya kerana meluahkan perasaan rindu yang menebal terhadap arwah isteri yang dijemput Ilahi pada Ogos lalu, seorang bapa tiga anak dikecam kerana terlalu beremosi.

Menerusi postingnya yang tular di laman sosial Facebook pada Selasa, Khairul Abdullah memohon maaf kerana semasa hayat isterinya, ungkapan sayang jarang diluahkan.

Khairul Abdullah.

“Maafkan I (saya) kerana semasa hidup I jarang cakap yang I sayang dan rindu you (kamu). I mengharapkan you faham melalui perbuatan sahaja sememangnya tak memadai. Sepatutnya I lebih banyak luahkan perasaan kasih dan sayang I pada you melalui ucapan dan kata-kata. Tetapi tidak, I simpan semua, hanya sesekali bila terasa.

“Namun sekarang ni dah terlewat. Bagai hendak meletup dada ini yang (panggilan sayang). Banyak sangat perasaan kasih sayang dan rindu yang nak I ucapkan pada you. Berjuta kali pun I sanggup yang, I sanggup,” katanya dengan harapan rintihannya itu didengari, dan memohon doa kepada Yang Esa agar rasa cinta itu sampai kepada arwah isterinya.

“Ya Allah, kau sampaikanlah rasa cinta, kasih dan rindu ini pada isteri ku. Kau ampunilah segala dosa dan tempatkanlah dia di dalam syurgaMu. Ya Allah, sesungguhnya aku sangat-sangat merindui dia. Kau redakanlah kerinduanku dan kau lapangkanlah dadaku,” katanya yang menyifatkan perkongsiannya itu sebagai diari seorang ‘superdaddy’.

Anak sulung Khairul, Khaleef yang berusia empat tahun.

Disebabkan luahan itu juga, terdapat netizen yang mengherdiknya dengan menyifatkan tiada guna dikesali di atas orang yang sudah dijemput Ilahi.

“Tak guna dah nak minta maaf. Dia tak akan kembali lagi untuk kau ucap kata-kata tu dekat (arwah) isteri engkau. Itu antara komen yang boleh dibaca apabila posting saya dua hari lalu menjadi tular. Sejujurnya saya okay saja. Namun, kalau mula-mula dulu saya sentap juga. Alah bisa tegal biasa.

“Saya tak kisah kerana apa yang saya tulis adalah perkongsian isi hati saya berdasarkan cerita dan pengalaman saya buat mereka yang membaca. Orang tak rasa apa yang saya rasa... apa itu kehilangan. Jadi, luahan ini adalah perkongsian isi hati saya untuk mereka menjadikannya sebagai iktibar,” katanya yang juga penulis buku ketika dihubungi mStar Online.

Anugerah... (dari kiri) Khaleef, Khaleed (setahun) dan Khaleel (tiga tahun)

Menurut Khairul, dia bukan menulis cerita kontroversi dan jarang sekali mengulas mengenai isu semasa, tetapi tidak pasti apakah silapnya, ada saja yang tidak bersetuju dengan apa yang diperkatakannya.

“Ada yang menghentam di komen dan ada yang menghentam menerusi mesej secara langsung. Saya tenang-tenang sahaja,” katanya yang mempunyai tiga anak lelaki, masing-masing berusia empat, tiga dan setahun.

Bapa tunggal yang menetap di Shah Alam ini menjelaskan bahawa perkongsiannya itu adalah pilihannya sendiri selain mahu memberi inspirasi kepada mereka yang membaca.

“Jika ada yang rasa ia bermanfaat maka saya bersyukur, jika tidak maka saya tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya sambil menambah arwah isterinya, Allahyarham Mareena Abdul Manaf meninggal dunia akibat jangkitan kuman menyebabkan kegagalan organ dalaman.

Khairul bersama dua anaknya.

Namun dirinya mengakui manusia sering lebih menghargai sesuatu yang telah tiada, sama ada kehilangan atau diambil.

Jika ia berlaku, Khairul memberitahu, sudah terlewat ketika itu kerana masa tidak akan berputar kembali, akhirnya hanya mampu menangis dan merindui.

“Kerinduan pula adalah suatu perasaan yang sangat sukar untuk diungkapkan. Setiap kali ia datang, hati terasa bagai dirobek-robek dan tinggallah ruang-ruang kosong yang tak bisa diisi dan dipenuhi,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain