suria

Niat sokong bisnes kawan bertukar musibah, kulit wanita ini mereput sampaikan anak kata "macam hantu"

Keadaan wajah Inazalina sebelum dan selepas insiden tersebut. - foto Facebook Inazalina Zalina

PETALING JAYA: Ibu dua anak berdepan trauma apabila kulit muka dan lehernya mengalami kesan melecur yang teruk gara-gara kecuaian seorang pakar kecantikan sebuah spa bergerak.

Semasa kejadian pada tengah hari Ahad lalu, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Siti Zalina memberitahu pakar kecantikan itu yang juga rakannya tertumpah air panas daripada alat stim muka tepat di wajahnya.

"Awalnya saya ingat hanya cuci muka biasa-biasa tapi pelik tiba-tiba tengok ada alat stim muka kat tepi. Waktu tu saya terfikir macam tak selamat je.

"Saya tak tahulah dia tak sempat tolak alat tersebut ke apa, sebab tiba-tiba alat tu jatuh atas muka saya. Air yang menggelegak tu masuk kena mata, muka dan mengalir sampai ke leher.

"Waktu tu rasa macam terbakar hidup-hidup. Saya tak menjerit, tak boleh cakap apa-apa sebab terlampau sakit. Sebaik saja air panas tu masuk mata saya terus pergi ke sinki dan basuh dengan air.

"Saya ambil bekas besar dan rendam muka. Tapi sakit tu tak hilang, makin lama makin sakit," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Sejurus selepas insiden itu, Siti Zalina berkata rakannya itu hanya meminta maaf di atas apa yang berlaku.

"Dia hanya cakap sorry, sorry tak sengaja. Saya rasa sama ada dia pegang alat tu kemudian dia terlepas ataupun dia tertolak.

"Bila saya tanya dia tak nak jawab tapi saya tak marah waktu tu sebab saya fikir dia kawan saya," katanya.

Inazalina sebak memikirkan mengenai masa depan kariernya selepas insiden itu. - foto Facebook Inazalina Zalina.

Tidak tahan dengan kesakitan yang dialami, wanita berusia 34 tahun itu menghubungi suaminya untuk menemaninya ke hospital.

"Suami saya balik dan kami pun turun sama-sama. Kawan saya tu masuk kereta dia dan tak ikut sekali ke hospital.

"Kawan saya kemudiannya balik tanpa ikut kami ke hospital. Sebaik tiba kami ke bahagian kecemasan sebuah hospital swasta. Mula-mula mereka macam tak nak terima saya sebab kes melecur.

"Lepas tu dia bagi air drip satu botol biar mengalir kat muka, saya juga ambil suntikan tapi sakit memang tak hilang-hilang.

"Jururawat ambil gambar saya dan hantar dekat doktor pakar. Biasalah  Ahad tak ada (doktor) pakar dan nasib baik mereka nak ambil kes saya. Alhamdulillah," katanya.

Siti Zalina yang bekerja di sebuah syarikat insurans tidak menduga luka melecur yang dialaminya akan menjadi lebih serius.

"Saya ingatkan hanya sapu krim kemudian saya boleh balik. Tapi bila doktor datang barulah dia jelaskan mengenai tahap luka saya.

"Saya disuruh puasa dan perlu segera jalani pembedahan kerana kulit saya sudah mereput, hitam memang teruk sangat.

"Kulit saya yang mereput itu perlu dikoyakkan dan dibuang kerana bimbang berlaku jangkitan jika tidak dilakukan segera. Waktu tu saya memang terkejut sangat-sangat," katanya.

Memandangkan karier Siti Zalina yang menuntutnya untuk berhadapan dengan orang ramai, keadaan emosinya terganggu selepas insiden itu.

"Saya jadi down sangat-sangat. Tiga hari saya menangis. Saya fikir macam mana saya nak berdepan dengan orang ramai sebab saya kerja di bahagian frontliner," katanya dalam nada sebak.

"Doktor cakap saya tak boleh kena cahaya matahari sekurang-kurangnya sebulan. Saya juga tak boleh pakai apa-apa di muka selama enam bulan kecuali Bio Oil. Kulit saya dah rosak jadi warna kulit akan sentiasa berubah-ubah. 

"Nak kembali ke kulit asal mungkin tak akan berlaku sebab melanin kulit dah mati. Jadi warna kulit selepas ini bergantung kepada badan masing-masing. Kadang-kadang boleh jadi gelap, mungkin boleh jadi terlalu cerah atau mungkin berbelang hingga ke leher," katanya.

Luka Inazalina mengalami luka melecur yang agak teruk di bahagian muka dan leher.

Lebih memilukan, wanita berasal dari Pelabuhan Klang itu sebak apabila wajah terbaharunya itu menyebabkan anak bongsunya enggan mendekatinya.

"Anak kedua saya sampai takut tengok muka saya. Bayangkan anak yang selalu kita peluk tu, dia datang kata muka saya macam hantu. Dia macam ketakutan tak nak dekat dengan saya.

"Itu yang buatkan saya sedih. Sepanjang saya berada di hospital, saya hanya jumpa dua anak saya dua kali sahaja. Bila saya call dia macam ok tapi bila berdepan dia jadi takut," katanya.

Dalam pada itu, Siti Zalina turut terkilan dengan kecaman netizen yang menyifatkan dia sengaja mencari fasal dengan mencari spa bergerak yang murah untuk mendapatkan rawatan wajah.

"Orang cakap saya gila cari spa murah, bukan... mereka ingat saya gila bayar murah... bukan. Sebenarnya saya memang tak suka pun sebab kulit muka saya sensitif. Seumur hidup saya pergi spa sekali dua sahaja.

"Demi Allah saya hanya mahu sokong bisnes kawan-kawan. Lagipun saya kenal anak-anak dia (perunding kecantikan). Dia dah ajak banyak kali, itupun saya dah tolak berkali-kali tapi mungkin nasib saya, Allah nak uji," katanya.

Sementara itu, Siti Zalina menasihati orang ramai agar tidak menjalani rawatan muka menerusi spa bergerak yang tumbuh bak cendawan selepas hujan kebelakangan ini.

"Saya hanya mahu menyedarkan orang ramai supaya insiden ini tidak berlaku kepada sesiapa selepas ini. Saya sendiri tertanya-tanya adakah spa bergerak ini betul-betul berdaftar, sijil diiktiraf atau sebaliknya.

Insiden Ahad lalu ibarat mimpi ngeri buat ibu dua anak ini.

"Apa sahaja boleh berlaku. Ini sekadar peringatan. Saya bernasib baik sebab tak buta. Itu yang pelik sebab air yang menggelegek itu betul-betul jatuh tepat pada mata. Syukur kerana Allah selamatkan saya.

"Saya juga bersyukur kerana hospital swasta terima kes saya. Kalau orang lain yang tak ada duit macam mana. Dapatkan rawatan wajah dengan pakar kecantikan yang bertauliah dan bukannya mereka yang sertai kursus sehari kemudian boleh buka spa bergerak sendiri," katanya.

Siti Zalina berkata dia turut kecewa dengan sikap lepas tangan kawannya itu selepas insiden tersebut.

"Dia hanya melawat saya di hospital selepas hari ketiga saya dibedah. Itu pun mungkin selepas dia terbaca posting saya di Facebook sebelum jadi viral.

"Dia datang bagi saya Vitamin C. Masalahnya benda tu bukan boleh pulihkan muka saya. Dia juga 'bising-bising' dekat suami saya tanya kenapa saya pergi hospital swasta dan bukannya hospital kerajaan.

"Keluarlah macam-macam cerita. Dia jadi lepas tangan. Sekurang-kurangnya tunjukkanlah sikap bertanggungjawab atas apa yang berlaku," katanya yang masih lagi menerima rawatan di hospital.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
spa bergerak, melecur

Artikel Lain