suria

Mulut berdarah, tulang patah! Macam tak percaya Piku selamat selepas jatuh dari tingkat 22!

Paparan sinaran X di bahagian pinggul Piku yang menunjukkan pelvisnya terkehel.

BAGI seorang pencinta kucing, si bulus itu bukan sekadar haiwan peliharaan tetapi ia sudah dianggap lebih daripada ahli keluarga sendiri.

Ada yang sanggup berhabis wang dan masa sekiranya si comel kesayangan ditimpa penyakit atau musibah.

Begitulah yang dirasakan seorang penulis dan pereka bebas yang hanya ingin dikenali sebagai Mimie Rahman (gambar) apabila kucing peliharaannya yang dipanggil Piku tiba-tiba hilang ketika dia sedang mengemas rumah.

Setelah puas mencari selama tiga hari, seorang jiran memaklumkan anak saudaranya telah menyelamatkan Piku yang jatuh daripada tingkat 22 sebuah apartment di Damansara Perdana pada Sabtu lalu.

"Ketika saya sedang sibuk mencari Piku pada Isnin, ada jiran tegur dan tanya saya cari apa...

"Bila saya beritahu kucing saya hilang, dia maklumkan bahawa anak saudaranya yang datang melawat telah menyelamatkan seekor kucing yang jatuh ke atas sebuah kereta.

"Kebetulan anak saudaranya 'parking' di sebelah kereta tersebut. Dia terus bawa ke klinik dan menjaganya di rumah di Klang," kata Mimie ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Wanita berusia 27 tahun itu bersyukur kerana telah menemui kucing kesayangannya dan tidak menyangka ada individu berhati mulia yang sanggup membawa Piku ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

"Orang yang menyelamatkan Piku tu tidak pernah pun bela kucing tapi dia sanggup menyelamatkannya yang cedera parah, biarpun tahu kos rawatan adalah tinggi.

"Dia pun ada tanya-tanya kepada pak ciknya (jiran Mimie) jika ada orang yang mengiklankan tentang kehilangan kucing.

"Terima kasih kerana jagakan Piku sementara waktu. Hanya Allah yang dapat membalasnya," ujarnya.

Keadaan Piku ketika dijumpai oleh Arnis.

Kata Mimie, lelaki yang menyelamatkan Piku iaitu Arnis turut berkongsi video Piku ketika diselamatkan.

Terdapat darah yang mengalir keluar daripada mulut dan punggung si comel itu.

Setelah dibawa berjumpa doktor haiwan, kos rawatan yang diperlukan mencecah RM2,000.

Mimie yang telah menggunakan wang simpanan untuk membayar kos rawatan dialisis ibu mertuanya dan penyelenggaraan kereta terpaksa meminta sumbangan daripada orang ramai untuk melakukan pembedahan ke atas Piku.

Suami Mimie (kiri) yang enggan dikenali bergambar  bersama penyelamat kucing mereka, Arnis (dua dari kiri) di rumahnya di Klang.

"Remuk hati kami bila dapat tahu dia jatuh dari tingkat 22 sehingga menyebabkan beberapa tulangnya patah dan pelvis terkehel.

"Saya amat berterima kasih kepada mereka yang menderma atau sekadar tolong menyebarkan berita tentang Piku sehingga dapat mengumpul wang yang diperlukan dalam masa sehari sahaja," ujarnya yang berkongsi mengenai insiden itu di Twitter pada Ahad lalu.

Tambah Mimie, dia sudah menganggap kucing tersebut sebagai anaknya memandangkan dia dan suami belum dikurniakan cahaya mata setelah tiga tahun mendirikan rumah tangga.

"Bagi saya, Piku bukan sekadar kucing tapi saya dah anggap dia macam anak sendiri," ujar Mimie.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Piku, kucing

Artikel Lain