BUKAN mudah bagi seorang individu untuk tampil bersuara mengenai masalah kesihatan mental yang menghantui mereka. Takut berdepan dengan stigma masyarakat dan disisihkan adalah antara punca pesakit psikiatri memilih untuk memendam rasa. Namun, bagi gadis jelita yang hanya ingin dikenali sebagai Qishi, dia enggan menyorokkan status kesihatan mentalnya kepada orang awam. Kata Qishi, dia disahkan menghidapi Gangguan Tekanan Utama (MDD), Gangguan Ambang Personaliti (BPD), kerunsingan dan serangan panik. Pengalamannya dimasukkan ke wad psikiatri selama hampir sebulan menjadi tular di Twitter sehingga ia diulang kicau lebih 10,000 kali. "Saya sedar alami masalah ini pada pertengahan 2018. Sebenarnya, sejak saya berumur 13 tahun lagi dah ada simptom ni. "Cuma masa tu saya tak sedar tu simptom kemurungan kerana pengetahuan tentang kesihatan mental belum tersebar meluas pada masa tu," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu. Selepas pelajar diploma pengajian perniagaan dari universiti awam itu membuat pendedahan tersebut, dia mengakui semakin ramai yang sedar bahawa penyakit mental bukan perkara yang boleh dipandang remeh. Tambah gadis kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu, dia sudah biasa dihina disebabkan penyakitnya, namun Qishi tidak pernah tunduk dengan kejian masyarakat kerana baginya, perkara itu membuang masa. "Mak saya selalu pesan selagi tak hilang mata, hidung, telinga dan mulut, jangan layankan kata orang. Orang boleh cakap apa yang mereka nak sebab tak kenal diri kita yang sebenar," ujarnya. Gadis yang memiliki paras menawan itu juga ingin menghakis tanggapan masyarakat bahawa orang cantik sentiasa menjalani kehidupan yang indah. "Saya pernah dapat komen dekat Twitter. Dia cakap “awak ni cantik, apa lagi yang kurang dalam hidup, tak cukup ke muka dah cantik, hidup mewah”. Qishi telah mendaftar keluar dari wad psikiatri, namun mengakui masih mengalami masalah kemurungan. "Reaksi saya senang je, cantik tak menjamin kebahagiaan dan tak bermaksud kita tak boleh sakit. "Muka cantik tak ada kena mengena dengan diri kita yang sakit. Apa-apa pun, jangan mudah menilai hidup seseorang. "Dekat laman sosial ni, kita tunjuk apa yang kita nak je. Selebihnya simpan sendiri," luah gadis itu.