SESI persekolahan yang bermula pada Rabu dibanjiri dengan air mata kanak-kanak yang memasuki tadika, pra sekolah mahupun Tahun Satu, yang sebahagian daripadanya menangis kerana tidak mahu berpisah dengan ibu bapa. Ragam itu bukan sahaja mencabar ibu bapa yang menghantar anak-anak pada hari pertama persekolahan, bahkan guru-guru di kelas. Namun lain pula berlaku kepada seorang murid yang menangis kerana tidak mahu pulang ke rumah, meskipun dijemput ibu bapanya. “Tak nak balik? (Kedengaran suara lelaki dipercayai bapanya). Tak nak... (balik rumah) sekolahnya best sangat,” kata murid itu yang dilihat menangis teresak-esak dalam sebuah video yang tular sejak Rabu. Muhammad Danish Azfar Mohamad Suhaimi. Foto ihsan Mohamad Suhaimi Muhd Lahuri Gelagat kanak-kanak dalam video yang berdurasi kira-kira 25 saat itu bukan sahaja mencuit hati, tetapi turut menimbulkan tanda-tanya dalam kalangan netizen. “Budak lain nangis tak nak pergi sekolah, adik ni nangis tak nak balik rumah,” kata seorang pengguna Twitter @nrsakinahdz. Susulan pelbagai spekulasi netizen, bapa kanak-kanak itu, Mohamad Suhaimi Muhd Lahuri tampil menjelaskan perkara sebenar di sebalik insiden yang tular. Mohamad Suhaimi bersama anaknya, Muhammad Danish. Bercakap kepada mStar Online, Mohamad Suhaimi, 38, berkata, anaknya, Muhammad Danish Azfar yang baru berumur lima tahun memasuki kelas pra sekolah di Sekolah Kebangsaan Hulu Bernam di Hulu Bernam, Hulu Selangor pada Rabu. “Selepas waktu persekolahan tamat kira-kira pukul 12 tengah hari, saya dan isteri menjenguk dia dari luar tingkap untuk ajak dia balik. Tapi dia kemudian tiba-tiba menangis tak nak balik. “Semuanya gara-gara permainan baharu di kelas dia. Permainan di kelas tu untuk pujuk kanak-kanak tidak menangis. Anak saya ni memang pantang kalau jumpa mainan baharu. Dia memang teruja, lagipun dia jenis peramah suka bergaul dengan rakan-rakan. Sebab tu dia tak nak balik,” katanya ketika dihubungi. Permainan yang disukai Muhammad Danish di kelasnya. Mohamad Suhaimi yang bekerja sebagai juruteknik berkata, dia dan isteri bagaimanapun berjaya memujuk anaknya untuk pulang ke rumah dengan berjanji akan membelikannya permainan baharu, sama seperti yang ada di kelasnya. Tambah bapa kepada tiga anak ini, Muhammad Danish mengambil masa yang lama untuk mencari permainan yang sama, sehingga banyak cadangan ditolak. “Permainan yang dia suka tu macam mainan untuk proses pembelajaran, ada yang hampir sama tapi dia tak nak. Sebab dia nak yang sama juga. “Tapi anak saya ni memang suka sangat dengan Ultraman. Jadi, bila dah rambang mata dalam kedai permainan, saya akhirnya tawarkan mainan Ultraman. Dia yang keliru dengan macam-macam pilihan terus setuju,” katanya secara berseloroh mengenai Muhammad Danish yang merupakan anak bongsu. Muhammad Danish dipujuk dengan pembelian permainan baharu Ultraman. Mohamad Suhaimi yang turut menetap di Hulu Bernam bersama keluarganya berharap penjelasannya itu dapat menolak segala spekulasi yang ditimbulkan netizen. “Pasal cikgu lawalah, pasal tu lah, ini lah.... sebab tak suka kat rumah lah, mak bapa garang lah. Lawak betul tuduhan mereka. Kami sekeluarga termasuk keluarga memang sayangkan dia, keluarga pengasuh pun rapat dengan anak kami. “Bukan tak ada permainan di rumah, sebenarnya berlambak. Cuma anak saya ni memang teruja kalau ada permainan baharu. Hari kedua kat sekolah dia OK, sebab dia dah janji selepas dibelikan permainan. Memang dia tak nangis dah hari ni,” katanya.