PERKONGSIAN seorang guru pelatih mengenai anak muridnya ternyata menarik perhatian warga Twitter. Menerusi tweet pada Khamis, LuqmanulHakim Hamidon, 24, bercerita mengenai Velu, seorang pelajar berbangsa India yang sering mengikuti kelas bahasa Arab yang diajarnya ketika menjalani latihan praktikum di sebuah sekolah di Kajang, pada 2017. LuqmanulHakim yang lebih senang disapa sebagai Luqman kini sedang menjalani semester akhir di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Bangi itu berkata, beliau terharu apabila dihubungi murid berkenaan setelah lama terputus hubungan. Paparan skrin perkongsian Luqman di Twitter. "Sebenarnya saya nak kongsi bagaimana cara dia menghargai guru. Sewaktu saya menjalani latihan praktikum, dia selalu juga masuk kelas bahasa Arab. "Biasanya pelajar bukan Islam akan masuk ke kelas moral atau duduk berasingan, tapi dia tunjukkan minat nak masuk kelas saya. "Hampir setahun dah kami tak berhubung, tiba-tiba dia WhatsApp. Dia beritahu masih ingat perkataan yang saya ajar dulu, memang rasa terharu dan bersyukur," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat. Menurut jejaka yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu, Velu disifatkan sebagai pelajar yang baik dan periang. Malah, Velu yang pada waktu itu berada di darjah tiga juga menunjukkan kebolehannya dalam subjek berkenaan, walaupun tidak mengambil peperiksaan. Luqman kini sedang mengikuti pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Bangi. "Bila buat aktiviti pengajaran, Velu akan ikut serta juga. Biasalah tahap sekolah rendah kita ajar perkataan untuk benda-benda sekeliling. "Dia tak kenal huruf Arab tapi boleh sebut. Aktiviti pengukuhan yang saya bagi pun dia boleh jawab dengan betul dan dia masih ingat sampai hari ni perkataan yang saya ajar dulu. "Ini menunjukkan ilmu tu semua orang boleh belajar tanpa mengira bangsa atau agama. Ilmu tu penting untuk semua manusia, bukan orang Islam sahaja," kata Luqman lagi. Tambah Luqman, dia menyifatkan murid seperti Velu memberi satu pengalaman penting untuk beliau mempersiapkan diri sebelum menjadi guru sebenar, suatu hari nanti. Bersama sebahagian muridnya. "Bila kita ajar dari hati, pasti akan sampai ke hati. Ia bagaikan satu pengalaman berharga untuk saya. Saya berdoa agar saya sentiasa ikhlas dalam menyampaikan ilmu apabila jadi guru sebenar. "Saya juga dapat lihat bagaimana seorang murid memuliakan gurunya, kadang-kadang kita sendiri tak pernah hubungi guru-guru kita dulu," katanya lagi. Dalam pada itu, perkongsian paparan skrin perbualan WhatsApp antara Velu dan Luqman yang dimuat naik ke Twitter menerima lebih 7,000 ulang kicau (Retweet). Beliau yang sekadar berkongsi secara suka-suka kerana gembira dihubungi semula muridnya tidak menyangka posting berkenaan akan menjadi tular.