suria

“Sekarang darjah 3 memang dia tak rasa malu” - Guru sebak murid jalan seret kaki, pakai seluar besar ‘bekas’ abang

SEBAK. Itulah perasaan seorang guru apabila ternampak seorang murid tetap bersemangat hadir ke sekolah meskipun terpaksa berjalan dalam keadaan menyeret kasut sekolah sambil sebelah tangannya lagi memegang seluar sekolah yang sudah lusuh.

Keadaan pelik budak lelaki darjah tiga di sebuah sekolah rendah di Sungai Petani, Kedah itu disedari Mohd Nasir Mohd Zain yang mengajar di sekolah tersebut pada hari ketiga sesi persekolahan 2019 bermula Selasa lalu.

"Saya tengok dia dari jauh, dia jalan tak angkat kaki dan tangan dia pegang seluar. Saya pun panggil dia dan pergi dekat dia.

"Saya tanya kenapa jalan macam ni. Dia kata saya tak boleh angkat kaki sebab kasut besar, ustaz. Saya cuba angkat Masya Allah, saya sebak.

"Saiz kasut dia terlalu besar. Kalau besar sikit-sikit dia mungkin boleh jalan elok-elok tapi kasut dia memang besar, saya ingat tiga jari boleh masuk," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut Mohd Nasir yang mengajar subjek Pendidikan Islam di sekolah tersebut, seluar yang dipakai kanak-kanak itu juga terlalu besar dan sudah lusuh.

Cikgu Mohd Nasir membawa kanak-kanak tersebut membeli baju, seluar dan kasut sekolah baharu pada Khamis. Foto ihsan Mohd Nasir.

"Saya tengok seluar dia pun besar sangat sampai dia kena sangkutkan cangkuk di bahagian tali tempat letak tali pinggang.

"Dia pakai seluar abang dia yang darjah enam tahun lepas. Saya kenal abang dia, sekarang dah tingkatan satu.

"Dulu saya selalu tanya abang dia bawa duit ke tak ke sekolah? Dia kata bawa RM1, saya pun 'top up' seringgit dua.

"Kadang-kadang bawa lima kupang (50 sen), kadang-kadang tak bawa duit langsung. Kehidupan mereka sekeluarga tahun lepas saya boleh kata susah tapi tahun ni lagi susah," katanya.

Tanpa berfikir panjang, Mohd Nasir berkata dia meminta izin daripada guru besar sekolah tersebut untuk membawa kanak-kanak yang mempunyai empat adik-beradik itu pergi membeli baju dan kasut sekolah baharu.

"Saya pergi pejabat minta izin dengan guru besar untuk bawa dia keluar nak beli semua baharu. Dia (guru besar) bagi tulis nama, izinkan bawa keluar.

"Saya panggil dia dan terus bawa ke Kepala Batas. Saya belikan dia semua yang baharu. Dalam kereta saya tengok dia senyum, dia gembira," katanya.

Mohd Nasir berkata dia terpanggil untuk membantu kanak-kanak itu kerana tidak mahu dia tidak hadir ke sekolah kerana kedaifannya.

Cikgu Nasir kagum dengan semangat kental ditunjukkan kanak-kanak tersebut yang tidak malu ke sekolah dengan keadaan demikian.

"Saya fikir kalau kita tak ambil tindakan, kita abaikan dia, bila dia naik darjah 4, 5, 6 dia dah ada perasaan malu. Jadi bila dia malu dia takkan pergi sekolah. Bila tak pergi sekolah masa depan dia hancur.

"Itu yang saya fikir. Sekarang bila darjah tiga memang dia tak ada perasaan malu kalau kawan-kawan ejek dia. Tapi bila usia dia dah makin meningkat dia dah tahu erti malu.

"Masalah remaja sekarang bila tak pergi sekolah hancur dengan dadah dan macam-macam lagilah. Jadi ini yang saya lakukan untuk bagi semangat dia mahu terus ke sekolah," katanya yang menyifatkan kanak-kanak itu sebagai seorang yang rajin dan berdisiplin di sekolah.

Sementara itu, Mohd Nasir turut kesal dengan dakwaan segelintir individu yang menganggap dia sengaja memuat naik posting di Facebooknya untuk menunjuk-nunjuk.

"Saya bukan riak ataupun jauh sekali mahu menunjuk-nunjuk. Saya hanya mahu semangat kental kanak-kanak ini menjadi inspirasi kepada orang lain.

"Saya sendiri pun tunjuk video yang saya ambil dekat anak-anak saya. Saya beritahu ini anak murid abah, walaupun kedaaan macam ni dia sanggup pergi sekolah. Kalau anak abah hangpa tak pergi sekolah dah sebab malu.

Kanak-kanak itu gembira mendapat baju, seluar dan kasut baharu.

"Saya pun mengajar hampir 20 tahun, dah banyak kali jumpa mereka yang susah dan miskin tapi bagi saya kes ini istimewa sikit. Dek kerana kasut, dia memang tak boleh angkat kaki, angkat kaki kasut dia akan tercabut dari kaki," katanya.

Pada masa sama, Mohd Nasir berkata dia berhasrat untuk menjadikan kanak-kanak tersebut sebagai anak angkatnya.

"Ramai yang PM (private message) saya minta nombor akaun nak bantu, saya cakap tak apa. Saya akan selesaikan perkara ini. Saya dah bincang dengan kawan saya, Insya-Allah saya akan ambil dia jadi anak angkat.

"Mungkin segala perbelanjaan dia saya akan tanggung. Saya pun Allah bagi rezeki lebih, jadi tak salah berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan sebab konsep hidup saya, saya mahu membahagiakan seramai mungkin orang," katanya.

Posting Mohd Nasir menjadi tular di media sosial sejak Khamis dan mendapat lebih 4,000 tanda suka dan dikongsi lebih 1,500 kali di Facebook.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kasut, daif, miskin, murid

Artikel Lain