suria

“Bergenang air mata tengok anak-anak balik” - Bapa catat jadual kepulangan setiap anak dalam buku khas

Nurul Idayu (kanan) bersama bapanya semasa majlis konvokesyen pada 2017. Foto ihsan Nurul Idayu Abdul Najib

SEKILAS pandang seperti buku lejar yang mencatatkan penyata simpanan dan kira-kira, tapi bukan sama sekali!

Ia sebaliknya senaskah buku yang mempunyai senarai butiran seperti nama, bulan, tarikh dan jumlah hari serta sebab kepulangan.

Rupa-rupanya ia adalah buku jadual ‘Anak-Anak Balik Kampung’ yang dikongsikan seorang anak perempuan di laman sosial sehingga tular.

Lampiran jadual 'Anak-Anak Balik Kampung'.

Dia yang turut memuat naik gambar kertas ‘Juara Balik Kampung 2018’ berkata: “Jadi, pemenang paling banyak adalah saya sendiri. Tahniah kepada diri sendiri.”

“Memandangkan abah (panggilan ayah) seorang yang sangat teliti mengenai semua perkara, maka jadual anak-anak balik kampung pun abah catat OK. Haha siapa balik abah isikan tarikh. Jadi, pemenang paling banyak balik kampung akan dapat hadiah hujung tahun,” katanya menerusi posting yang dikongsi hampir 3,000 kali.

Wanita berkenaan, Nurul Idayu Abdul Najib, 26, mengakui bapanya seorang yang begitu teliti sehingga setiap barang dibelinya akan ditulis tarikh pembelian, sama ada di belakang barang berkenaan atau dicatatkan pada diarinya.

Kedudukan bilangan balik kampung sepanjang 2018.

Anak bongsu daripada lima beradik ini turut menjelaskan bahawa dokumen penting seperti sijil kelahiran dan sijil-sijil sekolah turut disimpan bapanya mengikut fail anak masing-masing.

“Abah mulakan buku jadual anak balik kampung tu sejak 2017, mulanya dibuat secara senyap-senyap. Bila dah akhir tahun, baru dia beritahu kami adik-beradik. 

“Sampai sekarang pun kami tak tengok buku jadual tu depan-depan. Abah kata rahsia macam diari. Kami tengok jadual tu pun daripada gambar-gambar yang dihantar abah menerusi mesej grup WhatsApp,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Nurul Idayu mendedahkan jumlah ‘balik kampung’ pada 2017 dimenangi kakaknya, dan gelaran juara itu diungguli oleh dirinya pada tahun lalu (2018). 

Dia begitu teruja untuk berkongsi berita gembira itu di Facebook, tanpa menyangka ia menjadi tular.

Nurul Idayu bersama keluarganya.

Bagaimanapun, dia yang bertugas sebagai guru di Kuantan menjelaskan, kepulangannya ke kampung halaman di Kampung Paya Jauh di Temerloh, Pahang yang mencatakan jumlah tertinggi dalam kalangan adik-beradiknya bukan disebabkan ganjaran daripada bapanya, tetapi kerana rumahnya tidak jauh dari rumah bapanya.

Anak kelahiran Kuantan ini turut mengakui dia sememangnya manja dalam keluarga kerana dia anak bongsu, malah pernah merasai ‘home sick’ iaitu sindrom merindui kampung halaman.

“Masa saya belajar di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dari 2011 sehingga 2016, setiap minggu saya balik ke kampung, ketika itu keluarga masih tinggal di Kuantan.

“Bayangkan Jumaat petang je dah naik bas selama kira-kira empat jam ke Kuantan, lepas tu Ahad balik ke Kuala Lumpur semula. Sekarang saya dah berkahwin, jadi saya ada komitmen bersama suami, dan kadang-kadang ada aktiviti sekolah pada hujung minggu,” katanya yang baru berkahwin dengan seorang guru, Ogos tahun lalu.

Bersama ibu bapanya pada 2017 ketika Nurul Idayu masih belum berkahwin.

Sementara itu, bapa Nurul Idayu memberitahu jadual ‘anak-anak balik kampung’ itu dibuat sekadar suka-suka untuk mengingatkan tentang kepulangan lima anaknya.

“Sebagai bapa, sudah tentu saya gembira bila anak-anak pulang berjumpa saya dan isteri. Kami anak beranak ada grup WhatsApp, jadi mereka akan maklumkan kepada saya bila antara mereka nak balik kampung.

“Tapi ada juga yang berahsia, senyap-senyap rancang balik. Tiba-tiba dah ada depan pintu. Beritahu atau rahsia, saya tetap gembira, sampai pernah bergenang air mata tengok anak-anak balik,” ujar Abdul Najib Baharudin, 61.

Namun, pesara tentera berpangkat sarjan ini menjelaskan tiada paksaan untuk anak-anaknya pulang ke kampung halaman, memandangkan mereka sudah mempunyai komitmen bersama keluarga masing-masing selain tuntutan tugas.

Majlis perkahwinan Nurul Idayu pada 31 Ogos 2018.

Malah, Abdul Najib yang berkhidmat sebagai tentera selama 21 tahun itu tidak pernah membezakan anak-anaknya dari segi jumlah kepulangan mereka ke kampung.

“Semua anak saya sayang. Saya tak paksa mereka balik, tapi kalau mereka lebih kerap balik sudah tentu saya gembira. Semua dah kahwin, ada yang sudah mempunyai anak, jadi terubat juga rindu saya bersama cucu-cucu.

“Pasal hadiah tu saja suka-suka, sebelum ada jadual pun anak-anak memang selalu balik. Dalam keseronokan tu dapat juga merapatkan hubungan antara keluarga.

“Hadiah pun kecil-kecil saja, bukan harta pusaka. Yang penting kami pun gembira, dan sudah tentu saya akan terus catat sebagai ingatan peribadi,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain