suria

Hajat tengok anak konvo terkubur selepas kena strok di UK, anak mohon bantuan bawa bapa balik Malaysia!

Nur Amalina ketika menyambut bapanya, Sahrom di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London sempena meraikan majlis graduasinya.

DETIK bermakna untuk menyaksikan anak tersayang meraikan majlis graduasi di United Kingdom (UK) bertukar duka, apabila seorang bapa tiba-tiba diserang strok sebaik sahaja tiba di negara itu pada 12 Disember lalu.

Tambah menyedihkan, Sahrom Ahmad, 59, turut mengalami pendarahan otak dan terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Charing Cross, London bagi menyelamatkan nyawanya.

Menurut anaknya, Nur Amalina, 28, Sahrom, pada awalnya dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Northwick Park, namun terpaksa dipindahkan ke Hospital Charing Cross bagi menjalani pembedahan otak.

"Ayah saya sudah mula menggerakkan tangan sedikit selepas dua minggu.

"Cuma yang saya tak pasti adalah sama ada dia betul-betul sedar... maksudnya otak dia betul-betul berfungsi atau tidak," katanya yang berada di London ketika dihubungi mStar Online, malam Jumaat.

Nur Amalina berkata, selepas tiga minggu bapanya dirawat, pihak hospital membenarkan keluarga membawa pesara swasta itu pulang memandangkan keadaannya yang semakin stabil.

Namun, masalah timbul apabila bapanya memerlukan bantuan perubatan dan logistik yang sempurna bagi membolehkan dirinya dibawa pulang ke tanah air dengan selamat.

Nur Amalina tidak dapat hadir pada majlis graduasinya kerana perlu menjaga bapanya di hospital.

Situasi menjadi bertambah rumit kerana ia melibatkan polisi dan kerenah birokrasi syarikat insurans.

Dia turut memaklumkan bahawa kos perubatan bapanya dianggarkan berjumlah £70,000 (RM366,000).

Sehubungan itu, Nur Amalina yang merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik berkata, keluarganya merayu agar mana-mana pihak sama ada badan bukan kerajaan (NGO), kerajaan atau individu sudi membantu mereka mempermudahkan urusan membawa pulang bapanya ke Malaysia.

"Saya harap ada pihak yang sudi bantu kami bawa pulang ayah saya. Buat masa ini, kami juga sedang berbincang dengan pihak insurans agar dapat membiayai kos perubatan sekali gus membawanya pulang.

"Namun, polisi insurans pelancongan yang diambil oleh ayah saya adalah 'pay and claim' (bayar dan tuntut) kemudian," kata anak kelahiran Pulau Pinang ini yang buntu dengan masalah yang dihadapi.

-foto Facebook

Sahrom membeli pelan insurans perjalanan VIP yang membolehkan dia menebus bayaran balik insurans perubatan sehingga RM300,000 dan ‘repatriation’ (bawa balik) pada nilai yang sepadan.

Ketika ini, graduan Ijazah Sarjana (Sains) Pengurusan Antarabangsa dari Universiti Loughborough itu turut ditemani oleh ibu, ibu saudara dan adiknya yang tiba di London pada 28 Disember lalu bagi menjaga Sahrom secara bergilir-gilir di hospital.

Kata Nur Amalina, susulan insiden itu, dia tidak dapat hadir pada majlis graduasinya pada 17 Disember lalu dan membuat keputusan untuk mengambil sijil ijazah sarjana tersebut dari pejabat universiti sahaja.

Bagi mereka yang berminat untuk menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Nur Amalina di talian +44 7907 940566.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
graduasi, strok, bantuan

Artikel Lain