RUMAH yang tenang jangan disangka tiada lipas. Demikianlah yang dialami beberapa rakan serumah apabila tempat tidur mereka tiba-tiba dikerumuni lipas. Sedangkan lipas mati pun membuatkan orang menjerit tak keruan dan lari bertempiaran, apatah lagi haiwan perosak itu masih hidup dan bebas merayap di kediaman sendiri. Mimpi ngeri itu bermula sejak dua bulan lalu, apabila seorang lagi penghuni rumah dua tingkat yang disewa mereka di Bandar Sunway di Petaling Jaya, mula makan di tingkat bawah rumah itu. Keadaan sebuah bilik tidur yang bersepah. Foto Facebook Micho Teh Menerusi perkongsian di laman sosial, Micho Teh memberitahu penghuni berkenaan bukan rakan mereka dan kebiasaannya lebih gemar memakan bersendirian di biliknya. "Dia berbau busuk dan rambutnya berminyak. Saya dan Nobu menganggap dia mempunyai isu kebersihan yang sangat serius dan membayangkan bilik tidurnya terlalu kotor tetapi memandangkan kami merancang untuk berpindah keluar pada bulan ini... kami biarkan saja. "Selepas dua minggu, kami dapati lipas semakin banyak di dalam rumah," katanya yang pada mulanya beranggapan kemunculan lipas itu disebabkan musim hujan sejak kebelakangan ini selain dapur di tingkat bawah. Namun yang menjadi persoalannya bersama Nobu yang juga rakan serumahnya, apabila sejumlah besar lipas itu keluar dari tingkat atas kediaman yang disewa itu, sehingga dia berdepan situasi mengerikan didekati lipas besar terbang sewaktu keluar dari biliknya. Keadaan bilik yang menjadi 'sarang lipas'. Foto Facebook Micho Teh Susulan tindakan rakan mereka itu keluar daripada grup sembang WhatsApp dan tidak pulang ke rumah, mereka kemudian memberanikan diri masuk ke biliknya untuk pemeriksaan. "Cuba teka? Dia lah punca ," katanya sambil memuat naik keadaan bilik rakan serumah mereka yang tidak terurus dan dipenuhi sampah-sarap, sekali gus menjadi sarang pembiakan lipas. Perkongsian mereka mengenai rumah sewa mereka menjadi 'sarang lipas' di laman sosial sejak Isnin lalu menimbulkan pelbagai reaksi netizen sehingga ada yang mendakwa mereka sengaja mereka-reka cerita untuk menjadi tular. Pada Selasa, Nobu memberitahu kehidupan orang yang menyewa kadang-kalanya akan berhadapan dengan individu-individu seperti itu dan dia sebagai penyewa tidak bernasib baik kerana berhadapan dengan situasi sedemikian. Sejumlah plastik sampah selepas melakukan pembersihan bilik. Foto Facebook Nobu Wewe "Saya hanya berkongsi mengenai apa yang saya dan rakan-rakan serumah lain lalui. Kedua-dua mereka tertekan, malah seorang daripada mereka meminta saya untuk menutup biliknya dengan pita, dan dia terpaksa tinggal di rumah rakannya buat sementara waktu. "Saya dan lain-lain berusaha untuk membersihkan kekotoran itu. Tak ada apa yang seronok sekarang apabila rumah dipenuhi banyak lipas mati dan bau semburan kimia (penyembur racun haiwan perosak)," katanya Nobu menerusi halaman Facebook, Nobu Wewe. Bagaimanapun, penghuni yang dipercayai mencetuskan 'sarang lipas' itu tampil membuat permohonan maaf di halaman Facebooknya, pagi Rabu. "Saya minta maaf. Sebab saya tidak memberi respons pada posting berkenaan terus kerana saya cuba memperbaiki apa yang telah berlaku. Saya tidak mahu jadi keyboard warrior, memulakan perang secara dalam talian. "Saya tahu silap saya dari awal lagi. Dan saya mengakui kesilapan saya. Saya memohon maaf di atas apa yang telah saya lakukan, kepada mereka yang terlibat," katanya yang dikenali sebagai Isabelle. Keadan bilik selepas dibuang sampah-sarap. Foto Facebook Nobu Wewe Menurut Isabelle, dia juga telah menyelesaikan isu bilik itu dengan ejen rumah sewa dan belajar daripada pengalaman di atas apa yang berlaku. "Saya percaya semua orang berhak diberikan peluang kedua, dan itulah yang saya harapkan. Terima kasih buat mereka yang prihatin, cuba untuk bercakap dan bantu saya. "Saya berharap semuanya dapat berakhir di sini. Berikan saya peluang untuk 'move on'," katanya sambil menambah dia mengikuti perkembangan pembersihan bilik berkenaan.