suria

'Uncle' cuci kereta dedah ada pelanggan janji nak bayar upah RM1, cabut selepas kereta dicuci!

Sukumaran (kiri) bersama anak perempuannya, Shariminy berusia 12 tahun. -foto Adi W. Kamal

HASRAT seorang anak untuk membeli buah buat ibu tersayang menemukannya dengan seorang budak perempuan berpakaian seragam sekolah di sebuah tempat letak kereta.

Dia yang baru saja meletakkan keretanya di Seksyen 9 Shah Alam, didatangi kanak-kanak itu yang kemudian mengetuk tingkap kenderaannya.

“Dia tanya kalau saya nak basuh kereta. Pada mulanya saya kata tidak tetapi sebab dia pakai baju seragam sekolah dan saya ingat ada seorang lelaki berjalan bersama sebuah baldi dan kain lap di bahunya. Lantas, saya fikir lelaki itu mungkin ayahnya.

“Saya tanya budak tu, berapa? Dia kata ikut abang (terpulang untuk bayar berapa). Saya kemudian tanya dia siapa basuh kereta? Dia jawab ayah. Saya kata OK dan cepat-cepat keluar dari kereta,” kata seorang pengguna Facebook, Adi. W. Kamal menerusi posting di laman Facebooknya pada petang Selasa yang kini tular.

Posting mengenai kisah Sukumaran dan anak perempuannya di laman sosial pada petang Selasa, sehingga tular.

Masih menggalas beg sekolah di bahu, kata Adi, budak perempuan itu kemudian berlari ke arah bapanya di hujung simpang, sebelum bapanya berpaling ke arahnya lalu berjalan sepantas mungkin sambil membawa baldi yang dipenuhi air.

“Saya kemudian berjalan ke arah dia dan berikannya duit dan beritahu ambil wang. Tak perlu cuci kereta saya OK,” katanya.

Adi ketika dihubungi mStar Online pada malam Selasa memberitahu, hatinya cukup tersentuh melihat keadaan dua beranak itu.

Hanya mahu dikenali sebagai Adi Kamal, pemuda berusia 30-an itu berharap perkongsiannya dapat membuka mata masyarakat mengenai masih ramai insan yang kurang bernasib baik dan wajar diberikan bantuan dengan ikhlas, tanpa mengira latar belakang mereka.

“Saya rasa sedih dan sedar betapa bertuahnya kita. Lelaki ini namanya Sukumaran Sanmugam, dia mahu membeli buku-buku buat anak perempuannya yang belajar di sekolah,” katanya secara ringkas.

Sukumaran Sanmugam.

Sukumaran, 40, ketika dihubungi mStar Online berkata, dia mengambil upah mencuci kereta di jalanan sejak lebih dua tahun lalu, dan pendapatannya bergantung kepada ihsan orang ramai dengan kadar yang tidak menentu.

"Saya tak pernah menetapkan berapa harga untuk cuci kereta. Bukan senang nak dapat pelanggan sebab sekarang ni sudah ada banyak pusat mencuci kereta.

"Berapa yang mereka nak bayar saya terima. Sebab bukan senang, kalau hujan tak dapat cuci kereta. Ada masa saya dapat RM20 sehari, paling tinggi RM70 sudah cukup bersyukur," katanya yang tinggal bersama isteri dan anak-anak di Padang Jawa, Shah Alam dengan kadar sewa RM350 sebulan.

Disebabkan caj tidak tetap, bapa kepada dua anak ini tetap sedia menawarkan perkhidmatan mencuci kereta sehingga ada pelanggan hanya mahu membayar RM1.

"Ada pelanggan kata kalau RM1 saja dia OK untuk keretanya dicuci. Saya terima dan saya cuci keretanya. Lepas cuci, dia hidupkan enjin dan saya ingatkan bayar saya tapi dia pergi macam tu saja. Tak sempat nak merasa RM1 tu, nasib saya kena tipu.

"Tak apa lah, masih ramai yang baik di dunia ini.... macam saya dipertemukan dengan lelaki berhati mulia (Adi) dan beri sumbangan untuk beli buku sekolah buat anak saya. Termasuk juga bantuan mereka yang lain, dapat juga dibuat belanja kami sekeluarga. Kepada kamu Adi dan lain-lain, saya ucapkan berbanyak terima kasih," katanya.

Shariminy Sukumaran.

Sementara itu, anak perempuannya, Shariminy, 12, pula memberitahu, dia sering menolong bapanya mencuci kereta di sekitar Shah Alam selepas tamat waktu persekolahan.

Murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Midlands di Seksyen 7, Shah Alam ini menjelaskan bahawa bantuannya itu sedikit-sebanyak dapat mengurangkan beban bapanya yang terlibat dalam kemalangan kira-kira dua tahun lalu.

"Ayah pernah terlibat dalam kemalangan. Jadi tangannya pernah patah dan dimasukkan besi. Dia tak boleh buat kerja-kerja berat sebab kadang-kadang tangannya sakit dan perlu dirawat.

"Sebagai anak sulung daripada dua beradik, saya cuba tolong ayah. Dia cuci kereta, saya tolong lapkan. Saya buat pun lepas waktu sekolah sampai petang, di rumah saya boleh belajar," katanya sambil menambah, bapa menghantarnya ke sekolah setiap hari dengan menaiki motosikal sebelum memulakan kerja sebagai tukang cuci kereta.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi keluarga Sukumaran di talian 010-3861250.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain