suria

Digelar ‘Mowgli Malaysia’, Syukur impi miliki zoo sendiri

Syukur diberikan jolokan 'Mowgli Malaysia'. Foto Facebook Syukor Khamis - Kampung Boy. (Gambar kecil) Syukur begitu mesra dengan dua ekor kambing.

TANPA disangka-sangka namanya menjadi perhatian selepas gambar yang memaparkan dirinya bersama sekumpulan kerbau menjadi juara pertandingan foto peringkat Asia.

Gambar hasil karya jurugambar anak tempatan, Mohd Nazri Sulaiman mula tular selepas diangkat sebagai Imej Asia 2018 oleh Asian Geographic, bagi kategori Jalanan/Orang Terbaik.

Gambar bertajuk 'Sharing Emotion' (Berkongsi Emosi) itu memaparkan Muhammad Syukur, 14, sebagai subjek utama sedang duduk bersandarkan seekor kerbau di kawasan lumpur, manakala sekumpulan kerbau lain berkerumun di belakangnya - suatu senario yang menyentuh perasaan.

Gambar bertajuk 'Sharing Emotion' (Berkongsi Emosi) karya Mohd Nazri Sulaiman memenangi anugerah Asia Geographic: Imej 2018 bagi kategori Jalanan/Orang. Foto Facebook Asian Geographic

Gambar tersebut turut juga disenaraikan antara 20 foto terbaik dunia menerusi anugerah berprestij, Anugerah Foto Antarabangsa Siena 2018, sehingga anak muda ini diberikan jolokan 'Mowgli Malaysia', berdasarkan watak daripada filem mengenai seorang budak lelaki yang tinggal di dalam hutan dan begitu menyayangi haiwan seperti sahabatnya.

“Syukur ni, kawan dia bukan hanya kerbau saja, tapi kambing, lembu, angsa, burung semua kawan-kawan dia. Cara dia  bergurau (dengan haiwan) macam kawan sekolah. Saya pernah tulis dahulu yang berbunyi "Syukur ni anugerah Allah pada keluarga dia, sebab dalam sejuta orang pun susah nak jumpa budak macam ni".

“Saya pernah jumpa ketika mengembara di Indonesia dan Thailand, seorang budak baik dengan seekor kerbau jinak yang telah dicucuk hidungnya, itu biasa.

“Tapi tak pernah saya jumpa seorang budak yang boleh berkawan antara 70 dan 80 kerbau (yang tidak dicucuk hidungnya) dalam satu masa. Mereka dah kenal dah dengan Syukur ni," kata Mohd Nazri di halaman Facebooknya pada malam Khamis.

Muhammad Syukur menganggap kerbau-kerbau seperti sahabat, malah antaranya mempunyai nama panggilan. Foto Dallah Deen Photography

Syukur atau nama sebenarnya Muhammad Syukur Khamis berkata, dia sememangnya tidak menyangka gambar yang memaparkan dirinya itu mendapat anugerah.

“Saya bangga dan gembira dengan berita yang baru saya dapat semalam. Kemenangan gambar itu sedikit-sebanyak mengharumkan nama keluarga dan sekolah saya.

“Apa yang anda lihat pada gambar itu, atau gambar-gambar lain yang diambil oleh mana-mana jurugambar profesional atau sambilan, itulah saya dan kehidupan saya,” kata pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin ini ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Selain kerbau, Muhammad Syukur sering menghabiskan masa bersama binatang-binatang lain seperti burung. Foto Dallah Deen Photography

Syukur memberitahu, dia mula menjadi subjek atau model oleh jurugambar-jurugambar, sejak di sekolah rendah lagi semasa di Tahun Empat.

Anak kelahiran Kuala Terengganu ini berkata, kesemua gambar yang diambil adalah mengenai kehidupannya di sekitar kampungnya, dari kadang, kolam, sungai sehingga ke hutan. 

“Saya memang sejak kecil menyayangi haiwan sebab ayah bela banyak binatang seperti kerbau, kambing, lembu, angsa. Saya mula ikut ayah ke kandang kerbau masa umur enam tahun. 

“Saya dah biasa, tak takut dengan binatang-binatang ni. Semuanya sudah menjadi kawan-kawan saya, dan ada kerbau yang diberi nama macam Awang, Sanat dan Wahab,” katanya yang menetap di Kampung Banggol Katong di Kuala Terengganu.

Haiwan-haiwan seperti begitu jinak dengan Muhammad Syukur. Foto Engku Hisham

Mengakui masa lapangannya lebih banyak dihabiskan dengan haiwan-haiwan berkenaan, anak bongsu daripada lapan beradik ini turut menerima tawaran fotografi daripada jurugambar asing seperti India, selain jurugambar tempatan.

“Setiap kali ada sesi fotografi, saya dapat bayaran, biasanya antara RM50 dan RM100. Syukur alhamdulillah, dapat juga buat belanja sekolah.

“Saya berhasrat untuk bekerja di zoo suatu hari nanti kerana hati saya begitu dekat dengan haiwan. Kalau ada rezeki, saya nak buka zoo sendiri nanti,” kata Syukur sambil menambah turut membela ikan keli di belakang rumah.

Syukur (tengah) ceria bersama keluarganya. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain