GARA-gara hasil karyanya yang tular bersama gambar seorang pemenang pertandingan fotografi peringkat Asia, jurugambar kelahiran Kelantan ini telah mendapat rezeki terpijak yang tidak disangka-sangka. Menerusi perkongsian di media sosial termasuk laman sosial rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sejak Khamis, gambar yang menang itu dirakamkan oleh jurugambar, Mohd Nazri Sulaiman yang diangkat sebagai Imej Asia 2018 oleh Asian Geographic, bagi kategori Jalanan/Orang Terbaik. Gambar-gambar lain memaparkan seorang budak lelaki bersama sekumpulan kerbau, yang turut tular adalah karya jurugambar dengan nama Dallah Deen Photography. ARTIKEL BERKAITAN: Digelar ‘Mowgli Malaysia’, Syukur impi miliki zoo sendiri Posting seorang jurugambar mengenai kekeliruan bersama gambar yang dimenangi jurugambar Mohd Nazri Sulaiman. “Saya nak ucapkan tahniah buat sahabat saya saudara Nazri Sulaiman kerana cerita kejayaannya tular dengan begitu meluas hari ini. Namun kekeliruan timbul bila karya saya juga ditularkan bersama dengan cerita kejayaan ini. “Mungkin dia (yang menularkan gambar-gambar) sekadar ingin berkongsi gambar-gambar syukur bersama gambar yang memenangi anugerah. Apapun syabas buat adik syukur dan abang Nazri,” katanya di halaman Facebooknya, Dallah Deen Mohd Zain. Dallah Deen atau nama sebenarnya Abdullah Deen Mohd Zain, 44, berkata, dia terkejut selepas dihujani banyak mesej daripada netizen apabila gambar-gambar yang turut tular itu diberikan kredit di atas namanya. Antara ratusan gambar Syukur yang dirakamkan Abdullah. Foto Dallah Deen Photography Selain mahu menjadi pengikutnya di laman sosial, terdapat juga mesej bertanyakan tentang gambar yang memaparkan Muhammad Syukur Khamis yang kini diberikan jolokan ‘Mowgli Malaysia’, berdasarkan watak filem mengenai seorang lelaki yang tinggal di dalam hutan dan begitu menyayangi haiwan seperti sahabatnya. “Banyak mesej ‘friend request’ di Facebook dan Instagram. Banyak sangat yang saya terima dari semalam sehingga hari ni. Dari lebih 400 terus mencecah hampir 3,000 pengikut dan semakin bertambah. “Ada yang tanya pasal gambar-gambar Syukur, nak beli untuk koleksi mereka, malah ada yang mahu membeli untuk menjadikannya sebagai hiasan di kedai,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat. Abdullah bersama dua rakan jurugambarnya mula mengenai Syukur pada 2015. Foto Dallah Deen Photography Dia yang bertugas sebagai pegawai kebudayaan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu berkata, kebiasaannya sekeping gambar dijual pada harga RM800, tetapi penangan Syukur menjadikan ia pernah dijual lebih dua kali ganda setiap keping. “Malah gambar-gambar Syukur pernah dibeli oleh orang kenamaan pada harga ribuan ringgit sebagai koleksi di rumahnya,” katanya namun enggan mendedahkan identiti pembeli berkenaan. Selain banyak tawaran untuk membeli gambar Syukur sejak ianya tular, jurugambar kelahiran Bachok, Kelantan ini turut mendedahkan dia ditawarkan untuk mengadakan pameran fotografi. Syukur turut menjadi rebutan jurugambar luar negara. Foto Dallah Deen Photography Abdullah yang merupakan jurugambar sejak sedekad lalu memberitahu, dia mempunyai ratusan gambar Syukur yang memaparkan kehidupan budak itu di kampung halamannya di Kuala Terengganu dan aktivitinya bersama haiwan kesayangannya. “Hari ini, ada badan yang mahu tawarkan saya mengadakan pameran fotografi di Kuala Lumpur. Syukur alhamdulillah,” katanya yang sehingga kini tidak menyangka rezeki menumpang tuah pemenang. Abdullah menerima tempias di atas kemenangan jurugambar Mohd Nazri Sulaiman menerusi karya 'Sharing Emotion' (Berkongsi Emosi). Foto Asian Geographic Mengenai Syukur, Abdullah dan dua lagi rakannya yang juga jurugambar mengenali Syukur sejak 2015, dan menjenamakannya sebagai subjek utama untuk setiap karya fotografi mereka. Sejak itu, katanya, Syukur mula dikenali dan ramai jurugambar dalam dan luar negara seperti dari India, Thailand dan Singapura berikutan pelajar Tingkatan Dua di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin mudah memberikan kerjasama. “Bagi saya, Syukur mempunyai kelebihan tersendiri kerana kehidupannya sangat jujur. Dia mungkin tidak berapa mengikut trend terkini seperti budak-budak lain, tetapi dia sangat baik dan peramah bagi yang mengenalinya. Apa yang anda nampak di dalam gambar itulah Syukur yang sebenar,” tambahnya.