suria

"Saya rasa teruk terima duit derma" - Gadis hidap kanser limfoma rayu bantuan, beli 'naskhah cinta'

MENERIMA hakikat menghidap kanser bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi untuk berdepan penyakit itu pada usia muda.

Selepas tiga tahun berteka-teki dengan penyakit yang dihadapi, gadis berusia 27 tahun ini akhirnya reda dengan ketentuan ilahi.

Azira Baharum, disahkan menghidap kanser Limfoma Hodgkin Klasik atau nama saintifiknya Classical Hodgkin Lymphoma tahap 3 selepas tiga tahun mengalami gejala misteri yang menghantui dirinya.

"Ia bermula dengan bengkak kecil pada leher saya. Apabila ke klinik doktor beritahu lymph nodes saya membengkak sebelum rujuk saya ke hospital.

"Hampir lima hospital saya pergi dalam tempoh tiga tahun dan mereka lakukan biopsi pada bahagian dada tapi tak dapat detect penyakit sebenar.

"Sehinggalah tahun lalu, saya ke sebuah hospital pakar di Petaling Jaya dan doktor mengesahkan saya menghidap kanser Limfoma Hodgkin Klasik tahap 3 dan saya bersyukur akhirnya tanda tanya selama ini sudah berakhir," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Anak bongsu daripada lima beradik yang juga seorang penulis ini memberitahu dia kini menjual buku termasuk naskhah puisi cinta secara atas talian bagi menampung kos perubatan selepas terpaksa berhenti kerja tahun lalu.

Azira menyatakan dia tidak mahu mengharap bantuan orang ramai sebaliknya menjual buku bagi menampung kos kemoterapi.

"Saya ingatkan ia hanya bengkak biasa. Sampai satu tahap, saya sukar bernafas, rasa gatal-gatal pada kaki dan tangan dan bengkak dekat leher tu jadi makin besar sampai ke bahagian dada.

"Sekarang ni doktor beri ubat yang tidak terlalu kuat untuk saya kerana katanya saya masih muda. Tapi saya risau kalau ubat sekarang ni tak begitu berkesan, saya terpaksa lakukan 'targetted kemo' dan ia mampu mencecah sehingga ratusan ribu ringgit.

"Ibu bapa saya sudah bersara dan saya pula dah berhenti kerja. Jadi saya jual buku-buku yang saya tulis bagi mengumpul dana perubatan saya nanti," ujarnya.

Limfoma yang juga sebahagian kanser darah bermula dari sel sistem imun dipanggil 'lymphocytes'.

Ia berlaku apabila 'lymphocytes' berada dalam keadaan pertumbuhan sel yang tidak terkawal dan berganda.

Kebiasaanya individu akan mengalami bengkak pada nodus limfa pada leher, bawah lengan dan perut selain berlaku demam atau jangkitan yang tidak dapat dijelaskan, sakit dada, perut dan tulang. Keadaan ini juga menyebabkan individu terbabit mengalami penurunan berat badan secara mendadak.

Egy terpaksa berulang-alik hospital untuk menjalani rawatan kemoterapi

Khamis lalu, Azira berkongsi kisahnya itu melalui sebuah bebenang dan ia menjadi tular di laman Twitter.

Melalui status yang dimuat naik Azira, dia meminta bantuan orang ramai untuk membeli buku yang dijualnya bagi menampung kos perubatan menjalani kemoterapi selepas disahkan menghidap kanser limfoma.

Tambah Azira lagi, selain di leher dia turut mengalami beberapa ketumbuhan termasuk pada jantung.

"Sebelum ini saya tak boleh makan dan hilang berat badan hampir 10 kilogram dalam masa sebulan.

"Ketumbuhan pada bahagian dada membesar hampir sama dengan saiz separuh bola sepak.

"Daripada bengkak kecil ia menjadi semakin besar dan ia tumbuh di beberapa tempat lain. Dekat leher, dada, jantung dan baru-baru ini doktor beritahu ada satu pada bahagian pinggul (pelvic)," katanya.

Azira yang baharu selesai menjalani kemoterapi kali kelima bagaimanapun menyatakan dia berada dalam keadaan baik dan semakin pulih apabila bengkak pada lehernya itu semakin surut selepas beberapa sesi kemoterapi.

Azira menjalani beberapa sesi kemoterapi bagi mengurangkan bengkak pada leher

"Limfoma merupakan penyakit yang berkait dengan darah, jadi mereka tak boleh nak operate keluarkan ketumbuhan tu.

"Ia hanya boleh dirawat melalui kemoterapi.

"Alhamdulillah, ia semakin mengecut tetapi doktor beritahu ada ketumbuhan baru dikesan pada pelvis pula," katanya.

Dalam pada itu, wanita berasal dari Seremban tersebut sedang menghasilkan sebuah buku yang menceritakan tentang perjalanan dia berdepan kanser limfoma sebagai inspirasi buat mereka yang sama nasib dengannya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
EgyAzira, kanser limfoma

Artikel Lain