suria

"Ingat magik ke sebut cup cake terus siap?" - Tauke bakeri tak tidur siapkan tempahan, akhirnya kena 'game' dengan pelanggan

Megat Amir bersama isterinya, Tengku Nurul Iman Alianna di kafe milik mereka.

DEK kerana kasihan, sepasang suami isteri terpaksa bersengkang mata menyiapkan kira-kira 500 biji kek cawan yang ditempah oleh salah seorang pelanggan tetap mereka.

Bagaimanapun pemilik kafe dan bakeri di Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu, Megat Amir Danish dan isterinya, Tengku Nurul Iman Alianna berdepan mimpi ngeri apabila pelanggan tersebut bertindak membatalkan kesemua tempahan yang sudah disiapkan pagi Khamis.

"Kalau ikutkan hati, geram, marah semua ada. Tapi sebelum lebih banyak 'drama' pelanggan tu akan buat, saya dan isteri buat keputusan pulangkan semula wang dia.

"Walaupun jumlah bayaran agak banyak, kami fikir untuk jangka masa panjang. Pada mulanya kami malas nak pening kepala. Nanti sebab nak siap cepat, barang tak OK nama bakeri kami pun terjejas.

"Biarlah kami tak dapat wang itu daripada apa-apa buruk berlaku di kemudian hari. Walaupun penat, saya percaya Allah akan beri rezeki lain kepada kami," kata Megat Amir ketika dihubungi mStar Online.

Menurut bapa kepada dua anak itu, pelanggan tersebut menempah 500 kek cawan (custom made) bagi meraikan sambutan ulang tahun pertama maskot di sebuah syarikat.

Pada awalnya, Megat Amir berkata dia dan isterinya enggan mengambil tempahan tersebut tetapi akhirnya bersetuju selepas berasa simpati dengan pelanggan itu.

"Saya dah cakap kat dia memang kami tak boleh ambil tempahan tersebut. Lagipun saya dah stop semua production. Semua team tangguh buat kerja lain gara-gara tunggu jawapan dia sama ada nak proceed order tersebut.

Tempahan 500 biji kek cawan yang sudah siap. - foto Megat Amir Danish

"Sebab macam dah lewat, saya suruh baker dan team semua balik. Tiba-tiba pukul 9.36 malam (Rabu) dia boleh pula buat bayaran. Saya cakap kami akan refund sebab memang tak sempat nak siapkan tempahan tersebut dalam masa 12 jam.

"Tapi dia masih merayu minta tolong kami buatkan juga. Lepas bincang dengan pengedar edible dan nak tolong dia, kami pun baik hatinya setuju untuk siapkan tempahan dia tapi sebaliknya pula berlaku," katanya.

Pemuda berusia 24 tahun itu berkata insiden tersebut menjadikan mereka lebih berhati-hati semasa berurusan dengan pelanggan selepas ini.

"Kita tolong sebab kasihan tapi tak sangka pula dia ambil kesempatan. Wang yang dia bayar itu memang OK, tapi tak dapat bayar tenaga dan masa yang dihabiskan untuk menyiapkan tempahan tersebut.

"Bayangkan saya dan isteri terpaksa berpatah balik kedai pukul 12 tengah malam. Kami terpaksa bawa anak sekali sebab dah seharian tak luangkan masa dengan dia. Kami juga tak tidur malam siapkan tempahan itu, sampai rumah pukul 8 pagi (Khamis).

"Tiba-tiba terima mesej dari dia katanya ada supplier baru yang boleh buat tempahan tersebut.Ya Allah dia ingat main game?  Ingat buat magik ke sebut cup cake terus siap? Niat kami nak tolong tapi tak sangka dia ambil kesempatan terhadap kami," katanya.

Ditanya mengenai proses bayaran untuk tempahan tersebut, Megat Amir berkata mereka tidak meminta wang deposit kerana individu tersebut adalah pelanggan tetap mereka.

Megat Amir dan isterinya turut membawa bersama anak mereka ke kedai mereka untuk menyiapkan tempahan tersebut tengah malam Rabu.

"Kalau ikutkan memang kami minta bayaran penuh sebelum start production. Memandangkan dia pelanggan tetap kami, banyak kali order dengan kami sebelum ini, jadi kami tak ambil deposit dan hanya tunggu dia buat bayaran penuh.

"Proses itu dilakukan atas dasar kepercayaan. Lagipun dia buat tempahan untuk syarikatnya, boleh kata syarikat besar, jadi tak apalah kami proceed dulu. Tapi tak sangka jadi macam ni," katanya.

Susulan itu, Megat Amir memuat naik posting mengenai insiden itu di Twitternya pada Khamis dan diulang kicau lebih 4,000 kali.

Rata-rata netizen bersimpati dengan nasib pasangan itu.

Megat Amir berkata sejak postingnya menjadi tular, kesemua 500 kek cawan itu sudah habis dijual pagi Jumaat.

Kek cawan yang disedekahkan orang ramai sudah dihidangkan kepada jemaah masjid.

"Tak sangka ramai yang DM cakap nak beli cup cake tersebut. Alhamdulillah, kesemuanya sudah habis dijual pagi tadi (Jumaat).

"Majoriti beli untuk disedekahkan... hanya 100 biji sahaja yang pelanggan beli untuk diri sendiri. Terima kasih kepada semua pembeli," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kek cawan, bakeri

Artikel Lain