suria

Salahkah 'badak, gorila' suka wanita cantik? Kecewa direject tiap kali luah perasaan, akhirnya pemuda ini susut 70kg!

Berat badan Firdaus pernah mencecah 150 kilogram ketika berusia 15 tahun.

PASTI ramai berkeinginan untuk kurus namun ia bukan suatu perkara mudah, malah tidak ramai yang berjaya mencapai berat badan yang diidamkan itu.

Memiliki tubuh badan besar dengan berat sebanyak 150 kilogram membuatkan pemuda ini sering dibuli dan diejek rakan-rakan.

Menurut Muhammad Firdaus Kamalruzaman, gelaran seperti gorila dan badak seperti sudah lali.

Bagaimanapun, ejekan itu tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya dijadikan menanam hasrat untuk mendapatkan bentuk badan ideal.

Susulan itu, Firdaus yang berusia 21 tahun ini mengambil keputusan untuk berubah dan mula konsisten menurunkan berat badan.

"Saya sememangnya berbadan besar sejak kanak-kanak sehinggalah remaja. Saya ingat lagi waktu kecil-kecil ramai kawan panggil saya gemuk, badak dan gorila.

"Ada juga yang ejek saya punggung besar macam perempuan sebab saya jenis besar di bahagian bawah. Mereka sering tepuk 'belakang' sampai saya rasa sakit hati.

"Sejak itu saya nekad untuk berubah sebab nak tutup mulut dan nak tunjukkan yang Daus bukan seorang yang lemah seperti yang mereka sangkakan," ujarnya ketika dihibungi mStar Online.

Pengambilan makanan seimbang, diet berterusan dan amalan bersenam seperti ke pusat gim dan joging menjadikan Firdaus kini berjaya mencapai berat badan ideal.

Firdaus bersama rakan-rakan bersenam di gim bagi mendapatkan bentuk badan ideal.

Menurutnya lagi, dia menjadi obes sejak kecil disebabkan pemakanan yang tidak seimbang kerana menggemari makanan segera dan jajan.

"Setiap kali makan, jangan cakaplah. Nasi sahaja saya akan tambah tiga pinggan.

"Aktiviti wajib saya setiap hari adalah ke pasar malam untuk beli nuget dan kentang goreng. Itu memang favourite saya ketika kecil dan saya akan beli 2 cawan air manis. Satu cawan saya akan minum masa jalan-jalan dekat pasar dan satu lagi saya akan bungkus bawa balik.

"Itu yang menyebabkan saya obes dan berat badan mencecah 150 kilogram," katanya.

Kisah ini dikongsikan Firdaus di laman Twitter, mendapat perhatian ramai dan akhirnya tular.

Bebenang yang dimuat naiknya Sabtu lalu menerima sehingga lebih 7,000 ulang kicau dan lebih 8,000 tanda suka.

Menjadikan rappers kumpulan Big Bang iaitu Top sebagai insiprasi untuk kurus, usahanya akhirnya membuahkan hasil apabila kini berjaya menurunkan berat badan kepada 80 kilogram.

Firdaus menjadikan rappers kumpulan Big Bang iaitu Top yang pernah obes suatu ketika dahulu sebagai inspirasi untuk kurus.

"Saya sangat meminati kumpulan Big Bang dan Top sebelum ini pernah mendedahkan pernah mengalami masalah kegemukan ketika remaja.

"Tapi lihat dimana dia sekarang? Dia berubah dan berjaya. Jadi saya jadikan dia sebagai inspirasi untuk berubah.

"Saya ambil masa lima tahun untuk sampai ke tahap ini dan ia bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai," katanya.

Pemuda ini turut mendedahkan cintanya pernah beberapa kali ditolak gara-gara berbadan besar.

"Lumrah setiap manusia teringin untuk bercinta.

"Setiap kali saya luahkan perasaan terhadap perempuan,mesti ada yang gelak, kutuk. Salah ke si gemuk sukakan perempuan cantik?

"Saya direject dan ketika itu saya amat kecewa. Jadi saya move on dan hanya fokus untuk karier," ujarnya.

Bercerita mengenai karier, pemuda ini yang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perfileman di Universiti Multimedia Johor Bharu memasang impian untuk berjaya dalam bidang yang diminatinya.

Firdaus mendedahkan hasrat untuk menceburi bidang lakonan sekiranya berjaya mencapai berat badan ideal iaitu 75 kilogram.

Firdaus berhasrat untuk menceburi bidang lakonan suatu hari nanti.

"Saya kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perfileman. Sejak kecil saya bercita-cita nak jadi pelakon dan pengarah. Insyallah kalau ada rezeki saya dalam industri, katanya.

Kisah perjalanan hidup Firdaus sememangnya kisah yang sangat luar biasa dan patut dijadikan inspirasi buat semua.

Ternyata, Firdaus berjaya membuktikan kepada rakan-rakanya itu bahawa dia mampu berubah.

"Memang saya sudah puas diejek. Lucunya, ada antara mereka yang pernah buli dan ejek fizikal saya sebelum ini contact saya semula minta maaf kerana rasa bersalah.

"Saya kongsikan kisah itu di Twitter supaya ia dapat dijadikan inspirasi.

"Alhamdulillah, sejak berjaya menurunkan berat badan, pakcik dan ayah juga mula turut sama turunkan berat badan.

"Kepada mereka yang sama nasib dengan saya, anda mampu berubah. Yang penting, jangan putus asa," ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Firdaus Kamalruzaman

Artikel Lain