ZAMAN sudah berubah, namun mentaliti masyarakat yang memandang kejayaan seorang wanita masih lagi diukur dengan kehebatan mereka beraksi di dapur sukar dihakis. Wanita bernama Tatty Hassan, 27, yang menghabiskan masa selama lapan tahun untuk menamatkan pengajiannya dalam bidang undang-undang mencuri perhatian netizen di Twitter. Teruja dan syukur dengan kejayaan itu, Tatty memuat naik gambarnya di dalam kelas dengan kapsyen: "Saya rasa sedikit teruja pada masa ini. Saya tidak percaya yang saya berjaya mengharungi tempoh lapan tahun di sekolah undang-undang. "Sejak asasi, dua ijazah sarjana muda dan sebuah ijazah sarjana, pengajian saya tamat akhirnya. Alhamdulillah. "Namun, gambar kejayaannya yang meraih lebih 19,000 tanda suka itu menerima reaksi sinis seorang pelayar Twitter. "Dengan sijil-sijil yang ada tu semua, saya harap sis (Tatty) tahu memasak ye," tulis pengguna Twitter tersebut. Lelaki itu kemudian teruk dihentam kerana postingnya terhadap Tatty menimbulkan rasa marah dalam kalangan netizen. Rata-rata netizen tidak senang dengan komen lelaki tersebut dan menyifatkannya seperti 'makcik-makcik' dan hanya mahu berasa dirinya lebih hebat daripada golongan wanita. Komen bernada sinis yang ditulis oleh lelaki itu terhadap Tatty. Seorang rakan Tatty tampil mempertahankannya dan berkata bahawa bakal peguam tersebut sememangnya pandai memasak. "Realitinya, Tatty Hassan selalu masak untuk pelajar kelasnya dan juga menjemput pelajar kelas lain (termasuk saya) untuk makan."Bukan sahaja dia pandai masak, dia juga mempunyai hati yang baik. "Lelaki selalu menjatuhkan wanita di luar liga mereka untuk melindungi ego sendiri. Ia menyedihkan," tulis Mahirah. Sementara itu, Tatty berkata, dia tidak nampak di mana hubung kaitnya komen seperti itu dan terkejut dengan cara lelaki tersebut melihat wanita. Tatty baru menamatkan ijazah sarjana muda keduanya pada Khamis lalu. "Saya terkejut dia lihat perempuan macam itu sahajakah? Semua kejayaan ditolak ke tepi dan diukur sama ada perempuan pandai masak atau tidak. "Kalau saya tidak pandai masak, maknanya saya tidak cukup perempuan ke? Geram juga baca komen macam itu. Ia adalah sifat kelakian yang toksik," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad. Tambah wanita yang memiliki wajah seiras penyanyi Wany Hasrita dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ketari, Young Syefura Othman itu, dia tidak menolak sepenuhnya persepsi bahawa tempat wanita adalah di dapur. Gadis ini bakal bergelar peguam bertauliah selepas menyempurnakan 'chambering' selama sembilan bulan tidak lama lagi. "Pandangan dia tidaklah salah, ada betulnya juga. Tapi pencapaian wanita itulah yang akan menentukan dapur dia besar mana. Bahan-bahan di dapur itu organik atau tidak. "Sebenarnya, jika kaum lelaki belajar ilmu agama dengan betul, tugas memasak bukan tanggungjawab wanita tetapi lelaki kerana mereka yang perlu menyediakan nafkah," ujarnya yang mahir memasak sajian Melayu. Jelas wanita yang berasal dari Jitra Kedah itu lagi, zaman sudah berubah dan berharap pandangan skeptikal terhadap wanita juga harus berubah mengikut peredaran masa. Tatty kini menggenggam Bacelor Pengajian Undang-Undang, Bacelor Undang-Undang dan Ijazah Sarjana Undang-Undang Komersial dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.