suria

Abah pesan minta anak-anak aktif di IG, tapi sebulan selepas itu...

Gambar ibu bapa Mein yang dirakam 2016. Foto kredit: Mein

BOLEH dikatakan di era ini setiap individu tanpa mengira usia dan latar belakang mempunyai akaun laman sosial yang boleh dikatakan satu kemestian dalam kehidupan harian.

Namun tidak semua orang suka berkongsi laman sosial mereka dengan ahli keluarga sendiri dan masing-masing ada pelbagai alasan sendiri.

Malah lebih serius lagi, ada juga yang 'hide' atau 'blocked' keluarga sendiri supaya segala 'update' status atau gambar tidak diketahui ahli keluarga.

Namun realitinya, laman sosial adalah penghubung terbaik antara ibu bapa dengan anak yang jauh di mata.

Berbeza pula dengan keluarga Mein Mokhtar yang mahu dia sentiasa aktif di Instastory.

"Pada Mac 2017 arwah abah ada mesej beritahu supaya saya dan adik beradik sentiasa aktif di Instagram memandangkan kami semua jarang buka Facebook.

"Arwah abah cakap kalau rindu-rindu nanti dia boleh tengok Instagram kami memandangkan masing-masing tinggal berjauhan. Saya di KL, seorang adik di Australia manakala abah, mama dan adik-adik di Kedah.

"Jadi kami semua ikut cakap abah. Saya dengan arwah abah memang rapat, lagi-lagi saya anak sulung lelaki.

"Selepas arwah abah pencen, dia memang banyak masa terluang dan setiap hari akan tengok apa aktiviti anak-anaknya. Pergi mana, buat apa," ujarnya kepada mStar Online.

Mesej Mein bersama arwah abahnya dikongsi di Twitter.


Jelas Mein, selepas sebulan permintaan supaya sentiasa aktif di Instagram, abahnya pergi selama-lamanya.

"Saya ada beritahu abah rancang nak balik kampung (April). Tetapi bulan itu jugalah saya balik menguruskan jenazahnya.

"Abah meninggal dunia selepas terjatuh. Pada hari kedua (selepas jatuh), abah dah sedar dan boleh keluar hospital. Namun keesokannya dia tidak sedarkan diri dan terus meninggalkan kami.

"Tetapi saya bersyukur kerana sempat berborak dengan abah sebelum hari terakhirnya itu," ujarnya yang sehingga kini masih tidak boleh 'move on' dengan pemergian mengejut abahnya itu.

Tambah Mein, banyak nasihat abah dipegangnya sehingga kini.

"Sebagai anak lelaki sulung saya bertanggungjawab menjaga mama dan empat adik. Syukur semuanya baik dan mama  pun terus sihat.

"Cuma kadang-kadang tu timbul perasaan rindu, jadi saya kongsilah mesej-mesej lama arwah abah dulu.

"Tidak sangka pula ramai yang ulang kicau (17,000) dan memberi sokongan kepada saya.

"Bagi saya, kita tidak perlulah nak blocked mak ayah di laman sosial kerana mereka sebenarnya risau dan rindu nak tengok anak-anak mereka.

"Dan kalau ada masa jenguklah mereka selalu, bahagiakan mereka," tambahnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Pesan abah, Instagram, Mein Mokhtar

Artikel Lain