suria

“Pihak tak bertanggungjawab olah, manipulasi maklumat” – UiTM jawab isu data peribadi alumni, pelajar bocor

Kampus utama UiTM di Shah Alam, Selangor. Foto mohamadsolehin.blogspot

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) tampil menjawab isu data peribadi lebih sejuta alumni dan pelajar institusi pengajian tinggi itu bocor secara dalam talian.

Naib Canselor UiTM,  Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, pihaknya sentiasa memandang serius mengenai keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) universiti itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih sejuta data peribadi alumni, pelajar UiTM bocor?

Menurutnya, tangkapan skrin yang dipapar di sebuah blog pada Jumaat menunjukkan format maklumat yang tidak diguna pakai atau dijana daripada mana-mana sistem dalaman di UiTM.

“Ini menunjukkan bahawa maklumat tersebut telah diolah dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“(Ia) seterusnya mengesahkan bahawa maklumat tersebut bukan dijana terus daripada sistem UiTM ekoran daripada penggodaman,” katanya dalam kenyataan, petang Jumaat.

Media sosial pada pagi Jumaat digemparkan dengan laporan lowyat.net yang mendakwa rekod butiran 1,164,540 pelajar daripada pelbagai jurusan di UiTM antara 2000 dan 2018 telah bocor.

Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Hassan berkata, pihak UiTM akan menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan tidak berlaku sebarang salah laku oleh warganya. 

“Sekiranya didapati ia berlaku, pihak UiTM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, UiTM terus yakin bahawa sistem sedia ada yang digunakan adalah utuh, selamat dan boleh dipercayai.

Tambahnya, UiTM mempunyai satu Dasar Keselamatan ICT yang komprehensif dan menyeluruh serta merangkumi pelbagai komponen termasuk perlindungan maklumat rahsia dan maklumat rasmi dari capaian tanpa kuasa yang sah.

“Tahap keselamatan ICT UiTM diyakini setaraf dengan badan dan organisasi setara yang lain di Malaysia, ini dibuktikan dengan penerimaan pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) ISO 27001:2013 oleh Sirim QAS International Berhad pada 14 Januari 2019,” kata Hassan.

Menurut laporan lowyat.net yang memetik sumber, data yang bocor termasuk rekod terperinci pelajar dari kampus utama UiTM di Shah Alam, dan 13 kampus cawangan di seluruh negara. 

Butiran peribadi dalam data yang didedahkan itu termasuk nombor pendaftaran pelajar, nama, nombor kad pengenalan, alamat rumah, alamat emel, kod kampus, nama kampus, kod program, peringkat jurusan dan nombor telefon bimbit.

Dakwanya, turut terjejas adalah butiran pelajar yang mendaftar untuk kursus yang diiktiraf oleh UiTM di beberapa kolej di seluruh negara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain